Yayasan Hasanah buka permohonan geran ArtsFAS 2023 kepada penggiat seni | DagangNews Skip to main content

Yayasan Hasanah buka permohonan geran ArtsFAS 2023 kepada penggiat seni

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEBUAH yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd, Yayasan Hasanah membuka permohonan untuk geran Arts for All Seasons/Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS) untuk tahun ini, dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

 

Yayasan Hasanah dalam kenyataan pada 11 April 2023 berkata, sebagai geran seni terbesar di negara ini, ArtsFAS 2022 telah mencetus impak dengan menganugerahkan dana bernilai RM4.2 juta.

 

Yayasan itu menyokong 107 pameran seni yang dibuka untuk orang ramai dalam pelbagai format, sekali gus menjana peluang ekonomi untuk lebih 3,000 penggiat seni.

 

ArtsFAS bertujuan untuk mendidik generasi muda dan masyarakat secara amnya melalui teknologi, pertukaran pengetahuan dan acara seni, serta pemuliharaan melalui acara seni, menjadikan seni sesuatu yang boleh dinikmati semua.

wainuiomata

 


Antara program terbaharu di bawah sokongan ArtsFAS yang menerima sambutan hangat adalah 'Drumhouse: Honouring a Cultural Heritage' oleh Hands Percussion.

 

Konsert tersebut menggandingkan opera Teochew dan Mak Yong dan Mek Mulung dari Kelantan.

 

Selain itu, 'The Hearth Brought To Light: A Food-Over-Fire Festival' oleh Whatmatters Sdn Bhd, menampilkan tradisi, kesenian dan warisan Sarawak melalui pantomim, manakala pameran 'IKAT: Motif Kita' oleh Experiential Design Team, menggabungkan teknologi imersif dengan motif tradisional dalam seni tekstil.

 

Walimatulurus oleh Projek Suatukala Sdn Bhd, pengalaman teater imersif yang meraikan legenda terkenal Langkawi iaitu Mat Chincang dan Mat Raya, di samping banyak lagi acara seni yang mengujakan.

parafrasa

Sementara itu, mereka yang berminat untuk memohon geran ArtsFAS digesa untuk menghantar penilaian kelayakan selewat-lewatnya pada 15 April 2023.

 

Calon yang layak kemudiannya akan menerima pautan untuk memohon melalui platform dalam talian khas selewatnya 30 April 2023. 

 

Untuk maklumat lanjut dan menghantar penilaian kelayakan, layari www.artsfas.org/apply-now

 

Para penerima geran dijangka untuk melaksanakan program/acara mereka antara September hingga Disember 2023. - DagangNews.com