KUALA LUMPUR 12 Okt - Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dan QSR Stores Sdn Bhd (QSR Stores) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memberi fokus kepada pelajar golongan B40 untuk menyertai Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Program ini merupakan yang pertama di Malaysia bagi sekolah menengah harian yang mana projek rintis adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail dan SMK Majidee Baru 2, Johor Bahru melibatkan 25 pelajar.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan, Rozaini Mohd Sani berkata, program ini merupakan inisiatif positif ke arah menyediakan akses kepada pendidikan alternatif terutama kepada golongan B40 untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.
"Yayasan JCorp bersama syarikat Kumpulan JCorp seperti QSR Stores akan terus bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mendukung hasrat kerajaan dalam memacu pembangunan tenaga mahir tempatan.
"Inisiatif ini juga dilihat dapat memperkasa bidang fokus pendidikan Yayasan JCorp terutama dalam membangunkan modal insan secara holistik dan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta negara keseluruhannya pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Yayasan JCorp, QSR Stores dan JPNJ memeterai memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh Timbalan Pengarah JPNJ, Anuar Sukiran; Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kanan Pejabat Pengurusan Sumber Manusia QSR Brands (M) Holdings Bhd, Winston Thian Hee Lee di Johor Bahru, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menerusi program SLDN, pelbagai imbuhan menarik turut ditawarkan oleh QSR Stores kepada setiap peserta, termasuk elaun latihan dan insentif tertentu seperti yang dinikmati anggota pekerja lain syarikat tersebut.
Semua insentif itu adalah sebagai galakan kepada peserta untuk menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh di samping dapat digunakan bagi membantu keperluan pembelajaran mahupun menabung untuk menyambung pendidikan pada masa hadapan.
Peserta program SLDN ini menjalani latihan pengkhususan dalam bidang penyediaan makanan segera dan ditempatkan selama 2 tahun di restoran KFC terpilih sekitar Johor Bahru manakala pembelajaran teori di Restoran KFC Nusa Bestari, Johor Bahru.
Sebanyak 6 restoran KFC terlibat iaitu KFC Larkin Perdana, KFC Seri Gelam DT, KFC Larkin Terminal, KFC City Square, KFC JB Sentral dan KFC Nusa Bestari.
Bagi tujuan kawalan kualiti, program SLDN ini turut mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Selatan.
Melalui jalinan kerjasama tersebut, pelajar yang berjaya menamatkan program ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, sijil penyertaan daripada QSR, sijil SPM dan Sijil Matapelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) daripada Kementerian Pendidikan. - DagangNews.com