Yayasan Petronas berjaya tingkatkan taraf hidup golongan B40 menerusi MEKAR | DagangNews Skip to main content

Yayasan Petronas berjaya tingkatkan taraf hidup golongan B40 menerusi MEKAR

Sebahagian usahawan mendengar perkongsian kejayaan peserta MEKAR anjuran Yayasan Petronas. - DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 20 Ogos - Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) anjuran Yayasan Petronas telah berjaya meningkatkan taraf hidup 45 buah keluarga B40 di daerah Kuala Nerus, Terengganu.

 

Program lanjutan kemahiran keusahawanan itu berjaya mencapai matlamatnya apabila 35 peserta mencapai sasaran bulanan yang ditetapkan, termasuklah peningkatan pendapatan peserta secara kolektif melebihi 100 peratus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, selain daripada itu, produk lima peserta MEKAR juga berjaya menembusi pasaran pasar raya, hypermarket dan juga platform perniagaan secara dalam talian.

 

Menurutnya, program siri latihan berterusan selama setahun tersebut dijalankan secara kolaborasi bersama Yayasan MyKasih dengan kerjasama agensi pembangunan keusahawanan tempatan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Amanah Ikhtiar. 

 

"Program MEKAR adalah salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas dalam menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 di beberapa negeri terpilih di negara ini. 

 

"Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan program keusahawanan terdahulu anjuran Petronas iaitu Program Planting Tomorrow yang dijalankan pada 2018," katanya ketika berucap di majlis graduasi program MEKAR Kuala Nerus di sini hari ini.


 

Shariah Nelly Francis
                          Shariah Nelly Francis

 


Majlis graduasi tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Sharifah Noornaimah Syed Mahmood. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood dan Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata sebaik sahaja menamatkan program Planting Tomorrow, para peserta telah pun memulakan perniagaan masing-masing.

 

"Sehubungan itu, intipati program MEKAR digubal di dalam usaha memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan lebih kompetitif dengan memberi penekanan kepada strategi untuk mengembangkan perniagaan.

 

"Sepanjang mengikuti program, setiap peserta dibekalkan dengan kemahiran pengurusan perniagaan seperti pengenalan kepada asas perakaunan seperti percukaian, penyediaan penyata untung rugi, merekod aliran tunai harian dan perbelanjaan. 

 

"Selain daripada itu, mereka turut didedahkan dengan pemasaran produk yang kreatif dan penetapan misi dan visi yang jelas kepada pembangunan bisnes," katanya.


 

petronas
Perkongsian kisah kejayaan peserta program MEKAR senpanq majlis graduasi di Kuala Terengganu hari ini.

 


Untuk terus berdaya saing di dalam perniagaan, program MEKAR turut memberi penekanan kepada memantapkan personaliti usahawan. 

 

Melalui siri motivasi keusahawanan, mereka didedahkan dengan kepentingan anjakan minda untuk terus mencipta kejayaan di dalam perniagaan yang diceburi. 

 

Setiap peserta turut dilengkapkan dengan kemahiran insaniah, selain daripada pembinaan imej dan penampilan untuk meningkatkan keyakinan diri. 

 

Selain daripada itu, mereka juga didedahkan dengan amalan hidup sihat seperti kesihatan mental dan amalan pemakanan sihat yang dikendalikan oleh pakar perunding berkaitan. 

 

Selain daripada program MEKAR yang dijalankan di Kuala Nerus ini, Yayasan Petronas bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) turut menjalankan program empower ECER-MEKAR bagi membantu 918 golongan berpendapatan rendah di Kemaman, Dungun, Tanah Merah, Pasir Putih dan Kuala Lipis menjana pendapatan golongan sasar melalui siri latihan mempertingkatkan kemahiran dan keusahawanan. - DagangNews.com