KUALA LUMPUR 8 Nov - Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit yayasannya, (YTM) terus menyokong pembangunan industri kreatif negara dengan penganjuran Festival IMMERSIO dengan kerjasama Filamen di Muzium Telekom di sini, bermula dari 5 hingga 27 November 2022.
Festival ini merupakan sebuah pameran pengalaman Seni dan Teknologi berskala besar serta unik yang akan mempamerkan karya-karya Seni Media Baharu, Seni Kripto Non-Fungible Tokens (NFT) dan Seni Imersif, menampilkan lebih 60 artis dan koleksi digital tempatan dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
IMMERSIO bermula pada tahun 2017 dengan objektif untuk menghimpunkan artis-artis media baharu dari sekitar ibu kota dan segenap pelosok negara bagi mempamerkan hasil kerja mereka yang menggabungkan seni dan teknologi.
Selepas terhenti untuk dua tahun berikutan pandemik, acara ini kembali untuk edisi ke-4. Bulan ini, festival tersebut akan memeriahkan Muzium Telekom buat kali pertama, yang berkeluasan 27,000 kaki persegi dengan 12 pameran menakjubkan dan 7 bengkel serta sesi-sesi pembentangan.
Pengarah Yayasan TM, Izlyn Ramli berkata, sebagai sebuah yayasan yang berteraskan impak sosial, YTM komited terhadap pembangunan seni, usaha kreatif dan budaya.
Beliau berkata, ia adalah elemen penting dalam pemeliharaan dan meraikan warisan negara tetapi juga asas utama untuk membina masa hadapan.
"Melalui IMMERSIO, YTM juga mengaktifkan inkubator bakat digital kami di Muzium Telekom yang merupakan sebahagian daripada tonggak ketiga kami iaitu Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, di samping Pendidikan dan Pembinaan Masyarakat dan Negara, menghubungkan antara belia, bakat dan kreativiti kepada pembangunan kemahiran, peluang digital dan rakan usahasama kolaboratif.
“Tahun ini, YTM telah melancarkan Pelan Transformasi Telekom Muzium untuk mengaktifkan semula dan meletakkan bangunan warisan kami sebagai ruang awam yang menarik, dengan matlamat untuk pendidikan, hiburan dan peluang menjana kewangan untuk komuniti yang menerima khidmat kami.
"Salah satu inisiatif kami ialah “TEMU Weekends”, acara kreatif yang dipacu oleh komuniti dan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk menarik minat orang ramai mengunjungi Muzium Telekom yang mana mereka boleh berinteraksi dan bersantai bersama-sama rakan, keluarga dan menikmati suasana di bandar.
"YTM akan meneruskan misi berterusannya dengan pameran muzium yang lebih mendalam dan pelbagai lagi program komuniti yang menarik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas Bersama Filamen, Abdul Shakir pula berkata, IMMERSIO akan menjadi platform utama untuk artis tempatan dan antarabangsa dalam seni dan teknologi.
"Kami berharap ini akan memupuk lebih ramai bakat muda terlibat dalam medium digital dan seni media baharu. Platform ini juga bertujuan untuk menghubungkan dan melibatkan komuniti yang berbeza untuk menjadikan seni dan teknologi lebih menarik dan boleh diakses," katanya. - DagangNews.com