YB Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar selepas lengkapkan pelaburan dalam Prolexus | DagangNews Skip to main content

YB Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar selepas lengkapkan pelaburan dalam Prolexus

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Pembuat jubin dan syarikat teknologi maklumat (IT), YB Ventures Berhad melengkapkan pelaburan sebanyak 18% ke dalam Prolexus Berhad.

 

Menerusi pelaburan itu, kumpulan itu menjadi pemegang saham kedua terbesar Prolexus dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 48.90 juta saham dalam syarikat pakaian yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

 

Pengarah eksekutifnya, Datuk Au Yee Boon berkata, syarikat itu berkeyakinan bahawa pelaburan ke dalam Prolexus memberikan sinergi dan membantu mencipta nilai yang baik untuk kedua-dua syarikat bagi FY22 dan FY23.

 

"Kedua-dua syarikat memiliki kekuatan dari segi pembuatan dan kami percaya rasionalisasi aset serta perkongsingan kepakaran selain pengalaman akan memacu matlamat kami untuk mengembangkan sistem pembuatan pintar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Yee Boon berkata, kedua-dua syarikat akan beroperasi secara bebas, dari segi operasi dan kewangan walaupun terdapat beberapa inisiatif untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), penjimatan kos, penambahbaikan dalam proses pemerolehan dan juga peralihan ke arah tenaga suria untuk kilang pembuatan akan dikongsi bersama.

 

"Sebagai conton, inisiatif solar yang digunakan YB Ventures di kilang kami di Kulai akan membantu menjimatkan elektrik sebanyak 20% sebulan dan boleh membantu mempercepatkan proses ke arah tenaga boleh diperbaharui untuk Prolexus.

 

"Inisiatif itu adalah selaras dengan agneda alam sekitar, sosial dan tadbir urus syarikat (ESG)," katanya.

 

Sementara itu, Yee Boon berkata, pelaburan ke atas perniagaan Prolexus adalah seiring dengan pemulihan ekonomi global dengan sempadan antarabangsa kembali dibuka semula.

 

Pemulihan permintaan untuk pakaian dan kehadiran semula tenaga kerja asing akan mempercepatkan inisiatif YB Ventures untuk merealisasikan sinergi  pelaburannya. - DagangNews.com