Yinson meterai perjanjian eksklusif dengan BP Exploration bagi mengendalikan Projek PAJ | DagangNews Skip to main content

Yinson meterai perjanjian eksklusif dengan BP Exploration bagi mengendalikan Projek PAJ

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Yinson Holdings Berhad menerusi Yinson Acacia Ltd. telah memeterai perjanjian eksklusif dengan BP Exploration (Angola) Limited sebagai pengendali Kumpulan Kontraktor Blok 31 untuk tempahan FPSO Nganhurra, kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) untuk digunakan dalam cadangan 10 telaga bawah laut Palas, Astrea dan Medan Minyak Juno (Projek PAJ).

 

Menerusi perjanjian itu, Yinson akan menyediakan FSPO Nganhurra secara eksklusif kepada bp untk projek PAJ sehingga 31 Disember 2022 dengan pilihan lanjutan sehingga 30 Jun 2023 manakala pihak-pihak berkaitan berunding kontrak untuk menukar, mengendalikan, menyelenggara dan memajak FPSO untuk PAJ projek (Kontrak Pajakan dan Operasi).

 

"Kontrak Pajakan dan Operasi, yang dijangka merangkumi tempoh tetap 10 tahun akan dilaksanakan pada penghujung 2024 selepas bp mencapai keputusan pelaburan muktamad," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Yinson memegang pilihan pembelian eksklusif untuk FPSO Nganhurra sehingga 30 Jun 2023 dengan pemiliknya, Woodside Energy dan Mitsui E&P Australia Pty Ltd, bersama pilihan untuk Yinson melanjutkan pilihan pembelian tersebut sehingga 31 Disember 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengeluaran Yinson, Flemming Gronnegaard berkata, perjanjian itu meletakkan Yinson sebagai kontraktor pilihan dalam melaksanakan projek penempatan semula FPSO, yang mempunyai kelebihan perbelanjaan dan jadual yang ketara. 

 

"Baru-baru ini kami telah menyelesaikan dua projek penempatan semula iaitu FPSO Abigail-Joseph dan FPSO Helang. Buat masa sekarang kami terlibat dengan penghantaran penempatan semula untuk FPSO Atlanta.

 

"Kami yakin dengan rekod prestasi kami, pengetahuan teknikal dan pengalaman dalam industri akan menyokong dan memenuhi keperluan perniagaan bp," katanya.

 

FPSO Nganhurra mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari dan dibina oleh Samsung pada 2006. - DagangNews.com