Yinson Production guna armada baharu, FPSO Atlanta bagi operasi di Brazil | DagangNews Skip to main content

Yinson Production guna armada baharu, FPSO Atlanta bagi operasi di Brazil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Yinson Production Pte. Ltd. akan menggunakan armada terbaharunya iaitu unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Atlanta sebagai antara tiga aset kapal yang akan digunakan di Brazil.

 

FPSO Atlanta merupakan armada terbaharu kumpulan itu dan ia dinamakan secara rasmi dalam satu majlis yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.

 

Armada baharu itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 tong minyak sehari (bopd) dan kapasiti penyimpanan maksimum sebanyak 1.25 juta tong minyak mentah (bbls) sehari.

 

Ia akan menampilkan loji proses pengurusan karbon yang cekap, yang menggunakan gas bahan api untuk tangki kargo yang akan mengurangkan pelepasan gas dengan ketara melalui sistem tertutup.

 

"Kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan FPSO Atlanta semakin maju dan apabila siap, aset itu akan digunakan di FPSO Atlanta yang terletak di Lembangan Santos, luar pesisir Brazil, dengan minyak pertama dijangka dicapai kemudian pada 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Gronnegaard berkata, pihaknya telah mencapai kemajuan positif dalam projek FPSO Atlanta didorong oleh kepatuhan dalam pelaksanaan projek serta sokongan daripada pelanggan dan pihak berkepentingan.

 

"Kami menghargai kepercayaan Enauta terhadap kami dengan menganugerahkan projek itu kepada Yinson Production, dan kami kekal komited untuk meningkatkan akses kepada tenaga yang stabil dan mampu milik di rantau Amerika Selatan," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Projek Pengeluaran FPSO Atlanta, Scott Bendiksen berkata, pihaknya berbangga kerana tiada sebarnag insiden selepas menjalani 7 juta jam waktu bekerja untuk FPSO Atlanta.

 

Beliau berkata, mereka kekal komited dalam memenuhi piawaian kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE) selain memastikan projek berada di landasan yang betul dengan menjangkakan pelayarannya ke Brazil.

 

"Kerjasama dengan Enauta telah menjadi usaha yang membuahkan hasil, mengukuhkan lagi kehadiran kukuh Yinson Production di rantau ini," katanya.- DagangNews.com