Yinson Production labur dalam syarikat pemaju projek DAC di Norway | DagangNews Skip to main content

Yinson Production labur dalam syarikat pemaju projek DAC di Norway

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Yinson Production Pte Ltd, telah membuat pelaburan dalam Carbon Removal AS (CR), sebuah syarikat terkemuka yang berpangkalan di Norway yang membangunkan projek tangkapan udara terus (DAC), namun tidak mendedahkan nilainya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, anak syarikat Yinson Holdings Bhd itu berkata langkah strategik itu menekankan komitmennya untuk membangunkan rumusan penyahkarbonan bagi industri pengeluaran luar pesisir.

 

Tambahnya, pelaburan terbabit juga mengembangkan kepakaran dan ilmu pengetahuan syarikat dalam bidang ini, sambil memudahkan peluang perniagaan baharu dan penyertaan Yinson Production dalam rantaian nilai kredit karbon.

 

Dalam jangka panjang, Yinson Production menyasarkan untuk mencipta dan membina pasaran rendah karbon baharu.

 

 

CR membangunkan kilang DAC di Norway dengan 500,000 tan kapasiti tangkapan tahunan CO2 untuk simpanan kekal dalam akuifer masin luar pesisir
CR membangunkan kilang DAC di Norway dengan 500,000 tan kapasiti tangkapan tahunan CO2 untuk simpanan kekal dalam akuifer masin luar pesisir

 

 

CR kini sedang membangunkan kilang DAC di Norway untuk menangkap dan menyimpan karbon dioksida secara kekal sebanyak kira-kira 500,000 tan setiap tahun.

 

Ketua Pegawai Teknologi Yinson Production, Lars Gunnar Vogt berkata kerjasama ini memanfaatkan pengalaman syarikat itu dalam pembangunan dan pelaksanaan projek; operasi dan penyelenggaraan, dan pembiayaan projek; serta keupayaan termaju CR dalam pembangunan projek teknologi DAC.

 

"Sinergi gabungan kami akan menyumbang dengan ketara kepada merealisasikan Konsep FPSO Sifar Pelepasan Yinson Production, bermatlamat untuk menyediakan rumusan yang akan menyokong peralihan industri minyak dan gas luar pesisir kepada operasi karbon rendah," katanya.

 

Vogt berkata perkongsian dan pelaburan dalam CR akan membolehkan Yinson mengambil bahagian dalam projek DAC pada skala berkaitan, yang juga boleh digunakan dalam tempoh terdekat.

 

Pengerusi CR, Eirik Lilledahl menambah bahawa pelaburan Yinson Production dalam CR merupakan pencapaian utama bagi syarikatnya dan projek DAC di Øygarden, yang menunjukkan sokongan untuk daya tarikan DAC bagi mengimbangi pelepasan yang paling sukar untuk dikurangkan.

 

"YP juga membawa kekuatan kewangan dan kecekapan perindustrian kepada projek itu, berserta pengalaman daripada merancang, melaksana dan mengendali projek dengan saiz dan kerumitan yang sama kepada projek DAC di Øygarden. 

 

"Kami menjangkakan penyertaan mereka akan menjadi contoh baik dalam sektor minyak dan gas dalam menggunakan semula kapasiti mereka untuk peralihan kemampanan," katanya.  - DagangNews.com