KUALA LUMPUR 22 Feb - Yinson Holdings Bhd. menandatangani kontrak dengan Enauta Energia S.A. bagi penyediaan, operasi dan penyelenggaraan aset terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) di medan Atlanta yang terletak di Lembangan Santos, luar pesisir Brazil.
Ia berdasarkan surat hasrat bertarikh 17 Disember 2021, yang mana perjanjian itu telah dimeterai melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung, Yinson Production Offshore Pte Ltd, Yinson Production EPC Pte Ltd, Yinson Bouvardia Holdings Pte Ltd dan Yinson Bouvardia Serviços de Operação Ltda.
Projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan FPSO itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2024.
Sebelum menyiapkan pembinaan FPSO, Yinson mempunyai budi bicara untuk melaksanakan pilihan pembelian aset untuk memperoleh syarikat pemilik aset projek dengan perjanjian sewaan 15 tahun dan perjanjian operasi dan penyelenggaraan, yang mana Enauta mempunyai hak untuk melanjutkan perjanjian selama 5 tahun lagi.
Kontrak tersebut dianggarkan mempunyai nilai agregat berjumlah AS$505 juta (termasuk perjanjian 2 tahun operasi dan penyelenggaraan) dengan pertambahan seterusnya kepada AS$1.98 bilion (termasuk tempoh lanjutan 5 tahun) sekiranya Yinson melaksanakan pilihan pembelian aset.
FPSO tersebut merupakan satu daripada 3 aset Yinson di Brazil, menjadikan keseluruhan aset terapung kumpulan kepada 9.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, Brazil menganugerahkan majoriti kontrak FPSO pada 2021 dan menjangkakan ia akan terus menjadi pasaran FPSO yang dominan pada masa hadapan.
"Matlamat kami adalah untuk menyumbang secara positif kepada perkembangan industri tenaga di Brazil," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengeluaran Luar Pesisir Yinson, Flemming Grønnegaard berkata, Yinson dan Enauta telah bekerjasama sejak tahun lalu dan mencapai kemajuan yang kukuh.
"Kami percaya bahawa hubungan kerja yang erat dengan Enauta akan membantu kami melangkah lebih dekat ke arah konsep FPSO pelepasan sifar Yinson pada masa hadapan dan matlamat untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050," jelasnya. - DagangNews.com