Yinson sasar capai tahap penjanaan RE tahunan sebanyak 5.6TWj menjelang 2030 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Yinson sasar capai tahap penjanaan RE tahunan sebanyak 5.6TWj menjelang 2030 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Yinson Holdings Berhad menyasarkan untuk mencapai tahap penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) tahunan sebanyak 1.7 TWj menjelang 2025 dan 5.6 TWj menjelang 2030.

 

RHB Investment berkata, cabang perniagaan RE kumpulan itu aktif di sembilan pasaran termasuk India, Brazil, Peru serta Chile dan pada masa sama sedang menilai potensi pasaran baharu seperti United Kingdom, Sepanyol dan Filipina.

 

Katanya, kumpulan memberi petunjuk bahawa projek tenaga solar dan angin dengan kapasiti gabungan 774MW berada dalam peringkat pra-pembinaan dan pembinaan.

 

"Mereka komited untuk memiliki 30% daripada jumlah ekuiti dalam pelaburan hijau menjelang 2030 (daripada 8% pada FY23), dan terus melihat potensi besar dalam pelaburan hijau.

 

"Pembinaan projek solar fotovoltaik (PV) 285MWp di Nokh Solar Park di India telah siap, dan kemudahan ini mungkin mula menyumbang kepada kumpulan dalam tempoh terdekat, sementara menunggu sambungan gridnya.

 

"Sementara itu, projek angin 486MW di Brazil telah maju ke peringkat pra-pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perniagaan FPSO akan terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan dan mereka berhasrat untuk mempunyai 10 kapal FPSO menjelang 2030.

 

Pada masa ini, ia mempunyai lima kapal FPSO yang beroperasi, satu kapal penyimpanan dan pemunggahan terapung yang beroperasi, dan tiga kapal FPSO dalam pembinaan, dengan tempahan berjumlah AS$22.5 bilion.

 

"Kami percaya ia mungkin meneruskan tender untuk projek baharu dalam jangka sederhana,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.06 sesaham. - DagangNews.com