Youbeli-PChomeSEA tawar lebih 5 juta produk berkualiti tinggi | DagangNews Skip to main content

Youbeli-PChomeSEA tawar lebih 5 juta produk berkualiti tinggi

Youbeli-PChomeSEA

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Lebih lima juta pilihan produk ditawarkan kepada pembeli dalam talian melalui kerjasama antara jenama e-dagang tempatan iaitu Youbeli dengan platform e-dagang terbesar Taiwan, PChomeSEA.

Ketua Pegawai Eksekutif Youbeli, Chua Khai Suan berkata, bersempena dengan kerjasama tersebut juga,  Youbeli  dan PChomeSEA turut menawarkan penghantaran percuma di seluruh negara tanpa perlu membuat pembelian minimum.

"Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh kerajaan, perkara tersebut mendorong rakyat Malaysia untuk membeli-belah secara dalam talian.

"Dengan itu, Youbeli telah memutuskan untuk menjalinkan kerjasama eksklusif dengan PChomeSEA.

"Dengan promosi penghantaran percuma, kami berharap pembeli dalam talian di negara ini berpeluang menikmati produk berkualiti tinggi di samping dapat menjimatkan kos penghantaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chua Khai Suan
Chua Khai Suan

 

Youbeli telah menyenaraikan beberapa kategori seperti elektronik, kesihatan dan kecantikan, kediaman dan tempat tinggal sebagai kategori teratas dalam PChomeSEA.

Kategori tersebut dijangka menerima tarikan tertinggi dalam kalangan pembeli Malaysia kerana Taiwan telah diperakui sebagai pengeluar produk berkualiti tinggi di Asia.

Tambah Chua, hubungan dua hala antara kedua-dua negara tersebut dalam aspek ekonomi dan pembangunan sosial juga menjadi pendorong kepada rakyat Malaysia untuk membuat pembelian dalam talian dengan negara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan PChomeSEA, Sam Tsai berkata, Taiwan telah membina jaringan pasaran dalam talian yang terkenal sejak 20 tahun lalu dengan transaksi e-dagang yang melebihi jumlah transaksi tahunan di semua 10 negara di rantau Asia Tenggara.

"Oleh itu, kami berbangga dengan label Buatan Taiwan (MIT) yang dapat memastikan produk berpatutan di samping kualiti yang baik," ujarnya lagi.

Platform pembelian tersebut disediakan secara dwibahasa selain pembayaran menggunakan kad debit dan kredit, Touch ‘n Go, Boost, GrabPay, Razer, MCash, GoPayz, Zapp, kiplePay dan e-wallet lain.

Aplikasi Youbeli boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play. - DagangNews.com