YTL Cement, Kolej Vokasional Kuala Kangsar jayakan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 | DagangNews Skip to main content

YTL Cement, Kolej Vokasional Kuala Kangsar jayakan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023

Halimah (dua dari kiri) bersama tiga unit tong sampah yang disumbangkan kepada KVKK.
Oleh Zaki Salleh

KUALA KANGSAR 9 OKT – Satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tentang kelestarian alam sekitar telah dijayakan oleh YTL Cement dengan Kolej Vokasional Kuala Kangsar (KVKK) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023.

 

YTL Cement menerusi entiti CSR, BUILDS melaksanakan program ini yang disokong Jabatan Pertanian negeri Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak. 

 

Pelbagai aktiviti diadakan dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan mengatasi pencemaran alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup lestari dalam kalangan pelajar.

 

Sampah
Halimah (dua dari kiri) bersama Mohammad Ezzani diberi penerangan tentang barangan kitar semula yang dihasilkan pelajar KVKK.

 

Pengarah YTL Cement, Dato’ Halimah Hassan berkata, selama beberapa tahun YTL Cement dan anak syarikatnya amat berbangga dapat menjalin kerjasama dengan negeri Perak untuk sama-sama membangunkan negeri ini. 

 

Menurut beliau, pihaknya juga sangat berbesar hati dapat menyertai sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada tahun ini melibatkan kerajaan negeri, institusi pendidikan dan pemain industri.

 

"Kami sedar, ini adalah tanggungjawab sosial yang penting bagi memastikan masa depan yang lebih hijau untuk generasi akan datang. 

 

"Melalui kerjasama yang bermakna seperti hari ini, ia menandakan satu langkah penting kearah masa depan yang lebih lestari," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pokok

 

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengarah JAS negeri Perak, Dato’ Ts. Dr. Mohammad Ezzani Mat Salleh.

 

BUILDS juga menyumbang tiga set tong sampah kitar semula yang akan diletakkan di kawasan kolej bagi menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej.

 

Pada program itu sebanyak 10 pokok kelat paya pula telah ditanam di pekarangan KVKK oleh tetamu yang hadir.

 

Sebanyak 105 pokok buah-buahan yang ditaja Jabatan Pertanian Negeri Perak pula akan ditanam di sekolah-sekolah terpilih serta perkarangan Perak Hanjoong Simen Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat YTL Cement.

 

Sampah
Sebanyak 5,279kg bahan buangan berjaya dikumpulkan sebelum dijual kepada syarikat kitar semula.

 

Sampah
 Hasil jualan bahan buangan dikembalikan untuk kegunaan program kelestarian lain pada masa hadapan.

 

Bertemakan ‘Atasi Pencemaran Plastik’, program ini dapat memupuk amalan 4R iaitu guna semula, tolak, kurangkan dan kitar semula dalam kalangan masyarakat setempat, pelajar kolej dan pekerja YTL Cement. 

 

Hasil kerjasama pelbagai pihak juga sebanyak 5,279 kilogram bahan buangan berjaya dikumpulkan dan dikitar semula pada program ini.

 

Bahan-bahan tersebut boleh diguna semula setelah dijual yang mana hasilnya dilaburkan kembali untuk program alam sekitar kolej pada masa akan datang.- DagangNews.com