Yusry Yusoff dilantik semula CEO IBFIM selama 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Yusry Yusoff dilantik semula CEO IBFIM selama 3 tahun

 

 

KUALA LUMPUR 5 April -  Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) mengumumkan pelantikan semula Yusry Yusoff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), untuk tempoh 3 tahun lagi berkuatkuasa 1 April 2021.

 

Yusry Yusoff, yang telah menerajui IBFIM selama 4 tahun, memiliki pengalaman lebih daripada 27 tahun di dalam pelbagai aspek pembangunan industri kewangan. 

 

 

Yusry Yusoff
Yusry Yusoff

 

 

Sebelum menyertai IBFIM, beliau pernah berkhidmat dengan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Bank Negara Malaysia (BNM), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Beliau adalah Ahli Panel Perundingan Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia. Pengalaman beliau antara lain termasuk membangun program pelaksanaan piawaian bagi IFSB dan mempromosikan industri pengurusan dana Islam di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). 

 

Yusry juga merangka program latihan kewangan Islam untuk hakim kanan dengan kerjasama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi IBFIM, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pihaknya yakin di bawah kepemimpinan Yusry, IBFIM akan terus memikul mandat sebagai sebuah institusi pembelajaran jangka panjang yang menggalakkan pertumbuhan modal insan didalam kewangan Islam melalui pendekatan inovatif.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, IBFIM bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

 

Dua program IBFIM iaitu ‘Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam’ dan ‘Kelayakan Asas dalam Perbankan Islam’ telah dipilih oleh KLN bagi tujuan tersebut.

 

MTCP, yang dilancarkan pada 7 September 1980 sebagai komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan telah menjadi landasan bagi Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan negara-negara membangun yang lain. 

 

Sejak penubuhannya, lebih daripada 34,000 peserta dari 144 negara telah mendapat manfaat di bawah inisiatif MTCP.

 

IBFIM akan menjalankan empat program dengan yang pertama akan diadakan pada 5 hingga 9 April 2021, melibatkan 11 delegasi dari Turkmenistan, Azerbaijan, Bangladesh dan Laos.

 

Yusry menyifatkan kerjasama ini adalah suatu penghormatan bagi IBFIM dan memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai kewangan Islam di luar perairan Malaysia.

 

Beliau memberitahu, Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam dan Kelayakan Asas dalam Perbankan Islam adalah dua program IBFIM yang direka khas bagi memastikan pencapaian kemahiran teknikal dan kemahiran profesional. 

 

Setakat ini terdapat 3,312 pemegang Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam dan 932 pemegang Kelayakan
Asas dalam Perbankan Islam.

 

"Kami amat menyokong penuh usaha bagi membina hubungan dua hala yang lebih kukuh di antara Malaysia dengan negara-negara lain melalui kerjasama ini," jelas beliau. - DagangNews.com