YX Precious Metal sasar kumpul dana RM31.26 juta daripada terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

YX Precious Metal sasar kumpul dana RM31.26 juta daripada terbitan IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pemborong dan pengilang barang kemas, YX Precious Metals Berhad menyasarkan untuk mengumpul hasil sebanyak RM31.26 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai rancangan pengembangan mereka pada masa hadapan.

 

Syarikat itu dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Jun 2022.

 

YX Precious Metals yang merupakan syarikat milik penuh Tomei Consolidated Berhad berkata, IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 111.65 juta saham baharu, mewakili 30% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan pada harga terbitan RM0.28 sesaham.

 

“Daripada jumlah hasil itu, 22.07% atau RM6.90 juta diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu serta menaik taraf kemudahan operasi, manakala 66.73 % atau RM20.86 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Baki 11.2% atau RM3.5 juta akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

“Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 9 Jun pada pukul 5 petang,” katanya.

 

Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, YX Precious Metals akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM104.20 juta dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 372.15 juta saham.

 

Pengarah Urusannya,  Ng Sheau Chyn berkata penyenaraian itu akan membolehkan syarikat mengambil kesempatan daripada lonjakan permintaan bagi barang kemas emas sejak beberapa tahun lepas dengan mengembangkan portfolio produknya.

 

"Kami juga akan melaksanakan lebih banyak automasi dalam proses pembuatan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual untuk proses tertentu," katanya.

 

Public Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk terbitan IPO itu. - DagangNews.com