Zainal Abidin Shariff letak jawatan CEO Boustead Plantations | DagangNews Skip to main content

Zainal Abidin Shariff letak jawatan CEO Boustead Plantations

ZAINAL ABIDIN SHARIFF
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Nov - Boustead Plantations Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Zainal Abidin Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 8 November 2022. 

 

Peletakan jawatan itu adalah disebabkan beliau mahu meneruskan kepentingan lain, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Zainal Abdidin, 54, dilantik ke jawatan tersebut pada 12 Julai 2021 bagi menggantikan Ibrahim Abdul Majid, yang telah menerima peranan yang lebih besar di Boustead Holdings Bhd.

 

Beliau sebelum itu merupakan CEO Kumpulan TDM Bhd. mulai 2019 hingga 2020 dan CEO  The Incorporated Society of Planters pada 2018 hingga 2019.

 

Malah, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi/Ketua Pegawai Kewangan di Felcra Bhd. mulai 2016 hingga 2018 dan Ketua Pegawai Kewangan di Chemara Palmea Holdings Bhd. (2014 hingga 2016).


 

Fahmy Ismail
                 Fahmy Ismail

 

Sementara itu, dalam pengumuman berasingan, Boustead Plantations turut mengumumkan penetapan semula Fahmy Ismail, 46, sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 8 November 2022 daripada jawatannya sebelum itu sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

 

Fahmy merupakan Pengarah Kewangan Kumpulan Boustead Holdings sejak 2017 hingga kini. 

 

"Susulan peletakan jawatan itu (Zainal Abidin), Fahmy akan mengambil alih tugas sebagai pemangku CEO buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

 

"Lembaga Pengarah akan mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan ini," katanya.

 

Dalam penutupan petang ini, harga saham Boustead Plantations kekal tidak berubah pada 71 sen. - DagangNews.com