Zakat asnaf fisabilillah ada lebih RM14 juta tidak diagih ikut tujuan - Audit | DagangNews Skip to main content

Zakat asnaf fisabilillah ada lebih RM14 juta tidak diagih ikut tujuan - Audit

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sebanyak RM14.73 juta wang agihan zakat asnaf fisabilillah tidak digunakan untuk maksud yang sepatutnya, Laporan Ketua Audit 2019 Siri 1 dedahkan perkara itu hari ini. 

 

Wang agihan itu dilaporkan tidak digunakan bagi maksud sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah (MAIWP). 

 

"Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan pentakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

 

"Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat," jelas laporan itu. 

 

Laporan itu  mengesyorkan skim bantuan yang diberikan kepada asnaf fisabilillah hendaklah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

 

“Fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara 'case by case'. 

 

“Kewajaran dan risiko terutamanya perbelanjaan pembangunan perlu dikaji semula dengan teliti bagi memastikan tiada pembaziran dan sebarang kerugian atau pengurangan melibatkan wang zakat,” tambah laporan itu.

 

Langkah pengauditan dilaksanakan ke atas pembayaran di bawah Kumpulan Wang Zakat dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, termasuk tahun sebelumnya. 

 

Dalam masa sama, dapatan laporan itu turut dilaksanakan menerusi semakan 170 baucar bayaran yang menggunakan wang zakat RM206.9 juta.

 

Menerusi pemerhatian dalam laporan itu, bayaran agihan berkenaan disalurkan kepada agensi kebajikan, tetapi tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

 

Turut didedahkan, projek pembangunan yang telah dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017 menggunakan wang zakat, ditangguh sehingga tahun ini. 

 

Selain itu, bayaran balik pinjaman yang diberi menggunakan wang zakat sejumlah RM1.40 juta kepada Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. tertunggak sejumlah RM1.21 juta.

 

Pembelian inventori pakaian seragam dan pakaian sukan tadika Islam MAIWP berjumlah RM2.39 juta pada tahun 2013 hingga 2015 dilaporkan melebihi keperluan. - DagangNews.com