Zantat meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Zantat meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

(Dari kiri) Timbalan Pengerusi Zantat, Chan Hup Ooi; Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan; Pengarah Urusan M&A Equity Holdings, Datuk Bill Tan dan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Zantat Holdings Bhd telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pengilang kalsium karbonat itu berkata, tawaran awam permulaan (IPO) itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 56 juta saham baharu, mewakili 20% daripada modal saham Zantat yang diperbesarkan dan tawaran untuk penjualan 16.8 juta saham sedia ada menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Ia berkata daripada 56.0 juta saham terbitan, 14.0 juta saham terbitan akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui undian, manakala sejumlah 11.2 juta saham terbitan untuk pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan di bawah peruntukan borang merah jambu.

 

Baki 30.8 juta saham terbitan pula dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 25.2 juta saham terbitan yang disediakan untuk peruntukan awam dan borang merah jambu Malaysia.

 

Zantat, yang beroperasi selama 39 tahun di Malaysia, terlibat terutamanya dalam pengeluaran produk kalsium karbonat, iaitu kalsium karbonat dikisar dan penyebaran kalsium karbonat dan kebanyakan produknya dijual ke negara-negara di rantau Asia Pasifik dengan India sebagai pasaran terbesar diikuti oleh Malaysia.

 

Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan berkata pelaksanaan IPO itu tepat pada masanya kerana ia akan membolehkan syarikat itu mengakses pasaran modal Malaysia untuk mengumpul dana bagi melaksanakan rancangan pengembangannya dan bagi menyokong pertumbuhan berterusannya.

 

"IPO itu akan menyaksikan kami merealisasikan rancangan untuk mengembangkan penggunaan produk kalsium karbonat dikisar kami dalam industri kebersihan dan pembungkusan plastik yang bernilai tinggi.

 

“Kumpulan kami mempunyai pelbagai rangkaian produk kalsium karbonat dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pergerakan global ini, kerana kami telah mengkomersialkan beberapa jenis produk kalsium karbonat dikisar yang sesuai digunakan sebagai bahan untuk mengurangkan komposisi plastik, menjadikannya lebih mesra alam,” katanya.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com