Zarina Halim dilantik sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP | DagangNews Skip to main content

Zarina Halim dilantik sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah melantik Zarina Halim sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP yang baharu, berkuat kuasa pada 2 Januari 2024.

 

Zarina kini bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan dasar, strategi dan inisiatif bagi Bahagian Perkhidmatan Persaraan KWAP agar dapat mengekalkan kecemerlangan prestasi perkhidmatannya.

 

Selain itu, beliau juga akan memantau perkhidmatan persaraan dan perkhidmatan pelanggan KWAP untuk berada di tahap terbaik.

 

Sebelum ini, Zarina telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Korporat di Hektar Asset Management, syarikat pengurusan Hektar REIT, di mana beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan pengasas syarikat tersebut sejak pada tahun 2002 dan juga kumpulan pengurusan yang bertanggungjawab dalam penyenaraian Hektar REIT di Bursa Malaysia pada Disember 2006.

 

Beliau berkhidmat lebih 20 tahun di Kumpulan Hektar dan telah menerajui agenda kemampanan Hektar REIT yang membolehkan syarikat tersebut diiktiraf sebagai syarikat bertaraf empat bintang dalam Indeks FTSE4GD Bursa Malaysia dan telah memenangi pelbagai anugerah dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Zarina memulakan kerjayanya di Kumpulan UEM dan telah berkhidmat untuk kumpulan itu selama hampir sedekad di Prolink Development, pemaju induk untuk Iskandar Puteri, Johor, dan kemudiannya di cabang modal teroka, OptixLab.

 

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari University of Manchester, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari University of London.

 

Beliau juga merupakan Global Reporting Initiative Certified Sustainability Professional dan Certified Sustainability Reporting Specialist dari Institute of Certified Sustainability Practitioners.

 

Dengan berbekalkan pengalaman dalam bidang kemampanan ini, Zarina bersedia untuk memperkukuhkan lagi strategi persaraan mampan KWAP dalam peranan baharunya.

 

“Di samping itu, latar belakang beliau yang kukuh dalam industri berkaitan perkhidmatan pelanggan dapat dimanfaatkan untuk menyelia pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan penglibatan dengan pesara dan bakal pesara.

 

“Ini sejajar dengan aspirasi KWAP untuk meluaskan jangkauannya dan memperkayakan pelbagai inisiatif penglibatan untuk pihak berkepentingan utamanya iaitu para pesara dan penerima pencen derivatif,” kata KWAP dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com