Zurich General Insurance lancarkan pelan insurans Z-Rider, memberi perlindungan komprehensif kepada penunggang motosikal | DagangNews Skip to main content

Zurich General Insurance lancarkan pelan insurans Z-Rider, memberi perlindungan komprehensif kepada penunggang motosikal

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Zurich General Insurance Malaysia Bhd (ZGIMB) melancarkan dua pelan insurans motosikal baharu, Z-Rider (EW) dan Z-Rider (Plus) yang bertujuan untuk menyediakan perlindungan komprehensif dan ketenangan fikiran kepada penunggang motosikal di Malaysia.

 

Pelancaran kedua-dua insurans itu memberi penyelesaian insurans yang bersesuaian serta memenuhi keperluan pelanggan yang kini mencecah jumlah 16 juta penunggang motosikal di Malaysia.

 

Menurut penyedia insurans itu, siri Z-Rider itu sejajar dengan etos jenama Zurich Malaysia ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’ yang menekankan inovasi, kemudahan dan empati.

 

ZGIMB berkata, Z-Rider (EW) merupakan pelan perintis siri itu yang menawarkan manfaat unik bagi memastikan perlindungan optimum untuk penunggang motosikal. 

 

“Antara manfaat utama Z-Rider (EW) termasuk jaminan lanjutan percuma bagi pemilik motosikal baharu sehingga 200cc (tidak termasuk motosikal elektrik) serta memberikan jaminan selama dua tahun menerusi ejen pengedar motosikal ZGIMB. 

 

“Selain itu, pelan ini menawarkan servis tunda kerosakan serta perlindungan kemalangan peribadi sebanyak RM5,500 bagi setiap pemegang polisi,” ujar ZGIMB dalam kenyataan media hari ini. 

 

Di samping Z-Rider(EW), ZGIMB juga menawarkan Z-Rider(Plus) bagi pemilik motosikal di bawah 250cc.

 

Kata ZGIMB, pelan komprehensif itu menawarkan pilihan manfaat yang bersesuaian bagi keperluan penunggang yang pelbagai. 

 

“Selain daripada servis tunda kerosakan dan perlindungan kemalangan peribadi, Z-Rider (Plus) juga memberikan elaun banjir sebanyak RM1,000 dan RM100 untuk perkhidmatan tunda kemalangan,” ulasnya. 

 

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia, Junior Cho berkata, pelancaran siri Z-Rider merupakan langkah signifikan dalam insurans motosikal di Malaysia.

 

“Pelan-pelan dalam siri ini mampu memberikan perlindungan kepada pelanggan kami supaya mereka dapat menikmati pengalaman menunggang motosikal yang selamat,” ujar beliau.- DagangNews.com