Zurich, GPM Malaysia jalin kerjasama lancar inisiatif bantuan banjir komuniti | DagangNews Skip to main content

Zurich, GPM Malaysia jalin kerjasama lancar inisiatif bantuan banjir komuniti

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Zurich Malaysia (Zurich) menjalin kerjasama strategik dengan Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk melancarkan inisiatif bantuan banjir, ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’. 

 

Ia juga bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh serta langkah-langkah kesiapsiagaan untuk komuniti sebelum, semasa, dan selepas kecemasan banjir. 

 

Inisiatif itu dikemukakan semasa kebanyakan perniagaan menilai risiko alam sekitar, terutamanya "peristiwa cuaca ekstrem", sebagai antara 10 risiko global utama menurut Tinjauan Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 yang baru dilancarkan dengan kerjasama Zurich dan Marsh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, kerjasama dengan GPM Malaysia adalah bukti dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi jenama yang bertanggungjawab, mengutamakan komuniti, serta memperluas perlindungan melangkaui insurans dan takaful tradisional. 

 

Beliau berkata, pihaknya memahami cabaran getir yang dihadapi mangsa banjir, dan kami benar-benar didorong oleh misi kami untuk menyokong dan membantu mereka dengan apa juga cara yang termampu.

 

"Inisiatif bantuan banjir komuniti ini mencerminkan komitmen ikhlas kami untuk memberi impak positif dalam kehidupan rakyat Malaysia, selaras dengan kempen kami iaitu ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’, yang melambangkan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti. 

 

"Selain itu, Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) Zurich Malaysia adalah contoh inisiatif daya tahan iklim berterusan kami, yang terus mengukuhkan komitmen kami untuk mencipta masa depan yang mampan dan berdaya tahan," katanya.

 

 

zurich
Wakil daripada Zurich Malaysia dan Global Peace Malaysia bekerjasama untuk menderma Kit Persediaan Banjir, bagi membantu penduduk Kampung Bangi.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pula berkata, kerjasama itu menunjukkan impak transformatif yang mampu dicapai apabila pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpadu tenaga untuk mengatasi keperluan mendesak dalam komuniti. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Zurich, kami telah menggabungkan kepakaran mereka dalam insurans, takaful dan pengurusan risiko, dengan pengalaman misi kemanusiaan kami untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan membantu mereka yang terdedah kepada cabaran berkaitan banjir. 

 

 

zurich

 

 

"Kerjasama sedemikian adalah penting dalam membina daya tahan dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia, supaya negara kita lebih selamat dan bersedia untuk semua rakyat," katanya. - DagangNews.com