Zurich Malaysia, Kenanga Investors bekerjasama perkenal Dana Zurich Takaful Shariah Edge | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia, Kenanga Investors bekerjasama perkenal Dana Zurich Takaful Shariah Edge

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Nov - Zurich Malaysia bekerjasama dengan Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) bagi memperkenalkan Dana Zurich Takaful Shariah Edge yang merupakan dana pengantara Islamik yang melabur dalam Peluang-peluang Pertumbuhan Shariah Dana Kenanga (KSGOF).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd. Hamid berkata, dana yang diperkenalkan itu bersesuaian bagi pelabur jangka sederhana dan panjang yang patuh syariah dengan matlamat keuntungan secara konsisten.

 

Katanya, strategi pelaburannya memberi fokus kepada sektor peruncitan, konsumer, industri dan bahan, teknologi, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

“Pelaburan merupakan asas dalam mencapai jaminan dan daya tahan kewangan. Dana ini disediakan bagi memastikan pelanggan mempunyai fleksibiliti dalam memilih pilihan yang sesuai dengan matlamat pelaburan mereka.”

 

"Kami mahu menyediakan instrumen yang tepat kepada pelanggan kami bagi membolehkan mereka mencapai matlamat kewangan selain mengembangkan portfolio mereka bagi membina masa depan lebih cerah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dana Zurich Takaful Shariah Edge ini adalah tambahan kepada sembilan pilihan dana sedia ada dengan pelanggan boleh memilih berdsarkan kepada matlamat pelaburan mereka.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, sebagai sebuah syarikat yang memberi sokongan kepada pelaburan sosial serta Islamik, pihaknya melihat terdapat peningkatan permintaan dalam pelaburan terutama selepas tempoh pandemik COVID-19.

 

“Kami berbangga diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Zurich Malaysia yang menawarkan pelbagai jenis produk yang patuh Syariah. 

 

"Kami yakin dengan kerjasama ini ia akan menggalakkan interaksi perniagaan antara keduda-dua institusi dalam menawarkan penyelesaian kewangan lebih inovatif kepada rakyat Malaysia," katanya.

 

Dana Zurich Takaful Shariah Edge ini boleh didapati melalui produk-produk berkaitan pelaburan Zurich Takaful seperti Takaful ProInvest dan pelaburan tunggal Takafulink.-DagangNews.com