Zurich Malaysia, OKU Sentral perkasakan usahawan OKU | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia, OKU Sentral perkasakan usahawan OKU

Kolaborasi antara Persatuan OKU Sentral dan Teras Legacy, sebuah agensi Zurich Franchise Network akan memperkasakan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pembangunan keusahawanan dalam takaful

KUALA LUMPUR 7 Julai  – Zurich Malaysia melalui agensi Rangkaian Francais Zurich Teras Legacy memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) bagi menyokong pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pembangunan keusahawanan.

 

Konsep yang terbentuk di bawah program Sinar Senyuman Al-Shams, kerjasama ini memudahkan akses perlindungan kewangan takaful kepada OKU.

 

Program pertama seumpamanya di negara ini membuka jalan kepada OKU untuk mempunyai kerjaya yang berjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful.

 

Zurich Malaysia dan Teras Legacy akan membimbing dan melengkapkan OKU dengan kemahiran yang diperlukan. OKU Sentral menyokong program ini dengan menyediakan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam melatih OKU.

 

Teras utama program ini adalah memperkasa OKU untuk menerokai kerjaya yang mungkin tidak difikirkan sebelum ini.

 

Sinar Senyuman Al-Shams juga menjamin penerimaan permohonan OKU berdaftar ke dalam pelan perlindungan Zurich Takaful Al-Shams, termasuk mereka yang mempunyai penyakit kritikal yang sedia ada, penyakit kongenital atau tidak layak untuk menerima perlindungan daripada sumber lain.

 

Ciri Penerimaan Terjamin memudahkan proses untuk golongan OKU kerana ia tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan semasa memohon pelan takaful ini.

 

Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, ketahanan sosio-ekonomi adalah salah satu tema utama bagi Malaysia, ini memerlukan pembangunan perlindungan sosial yang lebih baik, terutamanya untuk kumpulan masyarakat yang terjejas.

 

Katanya, kaji selidik menunjukkan bahawa OKU berisiko menjadi miskin kerana kekurangan peluang penyertaan sosial serta ekonomi. Pada realitinya, OKU terpaksa menghadapi cabaran yang lebih untuk mendapatkan perlindungan dan pekerjaan.

 

"Untuk berjaya, kita mesti memfokuskan perkara selain perlindungan. Kita mesti mempergiatkan usaha untuk melibatkan OKU dalam bidang ekonomi. Sebagai wakil OKU di Dewan Negara, saya menghargai penyertaan Zurich Malaysia dan Teras Legacy dalam menyokong OKU untuk pembangunan yang lebih inklusif,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd Hamid berkata, pihaknya berusaha untuk memberi impak positif yang berkekalan dalam komuniti, termasuk OKU yang merupakan ahli masyarakat yang sama penting.

 

"Kami ingin menyokong usaha mereka untuk berdikari dan mendapatkan perlindungan. Program Sinar Senyuman Al-Shams ini membantu OKU menjalani kehidupan yang
bermakna dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara.

 

"Kami menyediakan sumber untuk membantu OKU yang berminat melakarkan kerjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful. Inisiatif ini selaras dengan kepercayaan kami bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat perlindungan dan masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.

 

Terdapat lebih daripada 580,000 OKU berdaftar di Malaysia. Ramai yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan kerana polisi dan amalan yang terhad.

 

Tambahan lagi, mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan perlindungan. Kadar penembusan takaful di negara ini juga rendah, iaitu 18.6% pada tahun 2021.

 

Kajian Impak Pandemik terhadap Perlindungan oleh Zurich Malaysia menunjukkan bahawa 84% rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang lebih tinggi tentang keperluan mempunyai perlindungan, namun 38% daripada jumlah responden masih tidak mempunyai perlindungan insurans atau takaful.

 

Zurich Malaysia telah melancarkan Takaful Al-Shams dengan Penerimaan Terjamin pada April lalu untuk menjadikan perlindungan lebih senang diakses dan lebih mudah untuk semua rakyat Malaysia.

 

Pelan ini adalah fleksibel dan boleh dikembangkan selaras dengan perubahan hidup pelanggan, seperti perkahwinan dan menimang cahaya mata. - DagangNews.com