Zurich, PLUS bekerjasama perkenal Z-ProMiles Takaful kepada ahli PLUSMiles | DagangNews Skip to main content

Zurich, PLUS bekerjasama perkenal Z-ProMiles Takaful kepada ahli PLUSMiles

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman menunjukkan Z-ProMiles Takaful di Aplikasi PLUS.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Zurich Malaysia (Zurich) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama bagi memperkenalkan Z-ProMiles Takaful kepada ahli PLUSMiles (program ganjaran PLUS) sebagai usaha memperluaskan perlindungan mobiliti jalan raya kepada pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada inovasi Zurich untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan semasa dalam perjalanan melalui pelan-pelan takaful yang direka khusus.

 

“Z-ProMiles Takaful ditawarkan kepada ahli PLUSMiles yang menyediakan Faedah Akibat Kesulitan, Penginapan Hotel dan Elaun Penggantian Kereta sekiranya pelanggan memerlukan perlindungan tambahan semasa dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS.

 

“Manfaat ini adalah tambahan kepada manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal akibat kemalangan dan pendapatan hospital akibat kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Z-ProMiles Takaful itu mudah diakses dan menyediakan perlindungan semasa dalam perjalanan yang membolehkan pelanggan Lebuhraya PLUS yang juga ahli PLUSMiles untuk memilih pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan dan belanjawan mereka.

 

Katanya, sebagai pengguna jalan raya, pihaknya memahami kegusaran pelanggan jika berlaku kejadian yang tidak diingini ketika berada di jalan raya.

 

plus

 

“Perlindungan kenderaan bermotor adalah pelan jaminan bagi mod pengangkutan kita, tetapi kebanyakan orang tidak dilindungi daripada kejadian yang tidak dijangka seperti apabila berlakunya kerosakan kenderaan di lebuh raya.”

 

“Melalui kerjasama dengan PLUS, kami boleh memperkenalkan produk takaful ini melalui aplikasi digital yang mudah. Ini membantu memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan apabila menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS,” katanya.

 

Untuk memohon perlindungan Z-ProMiles Takaful, pelanggan Lebuhraya PLUS boleh mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui Aplikasi PLUS atau layari portal https://pluscare.plus.com.my dan sertai pelan perlindungan Z-ProMiles Takaful.

 

plus

 

Perlindungan Z-ProMiles Takaful meliputi kejadian trafik tertentu di lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH),  Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura  (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dan Jambatan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, keselamatan dan keselesaan pelanggan lebuh raya adalah keutamaan PLUS.

 

“Kami sentiasa berusaha dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan nilai tambah bagi membolehkan perjalanan yang selesa ketika di lebuh raya kami. PLUS berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya 3E kami, iaitu Engineering, Enforcement and Education (Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan).

 

“PLUS memacu keselamatan jalan raya melalui pasukan rondaan lebuh raya kami, PLUSRonda, Pusat Pemantauan Trafik, audit keselamatan jalan raya berkala, serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” tambahnya.

 

“Kami berbesar hati apabila Zurich Malaysia berkongsi matlamat kami untuk menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan lebuh raya. Kerjasama ini melengkapkan usaha kami untuk menjadikan lebuh raya kami lebih selamat dan ianya akan memanfaatkan rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com