Zurich Takaful tawar dana pelaburan baharu serendah 50 sen | DagangNews Skip to main content

Zurich Takaful tawar dana pelaburan baharu serendah 50 sen

Zurich

KUALA LUMPUR 21 Julai - Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) menawarkan dana pelaburan terbaharunya, Dana Syariah Global Edge di bawah pelan pelaburan dengan harga serendah 50 sen seunit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukesh Dhawan berkata, tawaran tersebut merupakan Dana Tukaran Diperdagangkan yang diuruskan oleh firma pengurusan aset terkemuka dunia, BlackRock.

"Kami memberi dua kelebihan melalui dana ini iaitu sebagai peluang untuk memulihkan nilai simpanan pelanggan serta kelebihan kolaborasi bersama BlackRock yang mempunyai aset berjumlah RM31.19 trilion.

"Kombinasi ini adalah patuh syariah dan memberi ketelusan kepada pengguna di Malaysia. Ini juga merupakan tanggungjawab kami agar lebih bertanggungjawab terhadap situasi semasa dan keperluan pasaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dana Syariah Global Edge diperkenalkan khusus bagi tujuan pelaburan yang boleh dimiliki oleh semua pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu.

50 sen seunit

Dengan nilai 50 sen seunit, dana ini boleh dibeli dan dimiliki tanpa had bergantung kepada pilihan pelanggan.

Dana ini dilihat sesuai bagi pelabur yang memahami strategi pelaburan, jenis risiko disamping mempelbagaikan protfolio melalui pasaran asing dalam jangka masa panjang.

Pelanggan boleh mendapatkan dana tersebut melalui produk-produk berkaitan pelaburan di bawah Zurich Takaful dengan kira-kira 6,000 perancang kewangan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pengedaran iShares Asia Pasifik BlackRock, Geir Espeskog berkata, ketidaktentuan pasaran pada suku pertama 2020 telah menarik minat pelabur untuk membuat pelaburan bersama syarikat yang lebih kukuh.

"Sektor teknologi dan kesihatan merangkumi lebih daripada 40% MSCI World Islamic Index. Pelabur akan terus mempelbagaikan dan mencari peluang serta memilih syarikat yang berpotensi dalam aspek sosial dan tadbir urusnya," tambahnya. - DagangNews.com