Zurich Takaful umum pelantikan Nur Fatihah Mustafa sebagai CEO, cipta sejarah wanita Malaysia | DagangNews Skip to main content

Zurich Takaful umum pelantikan Nur Fatihah Mustafa sebagai CEO, cipta sejarah wanita Malaysia

Nur Fatihah Mustafa dilantik CEO Zurich Takaful berkuat kuasa 4 Jun 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Jun - Nur Fatihah Mustafa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) berkuat kuasa 4 Jun 2024. 

 

Pelantikan Nur Fatihah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama dilantik mengetuai syarikat takaful di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, pihaknya berbangga melantik Nur Fatihah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ZTMB yang baharu kerana beliau merupakan calon yang ideal dalam mencipta masa depan yang lebih cerah untuk perniagaan takaful.

 

 

Menurut Junior, Nur Fatihah mempunyai rekod prestasi yang telah terbukti di samping memiliki pemahaman mendalam tentang industri takaful dan komitmen terhadap pengalaman pelanggan.

 

"Pelantikan Nur Fatihah adalah bukti komitmen kami terhadap kepelbagaian gender dan inklusif, dan kami percaya beliau akan menjadi inspirasi dan memperkasakan kakitangan berprestasi tinggi lain di Zurich untuk mengisi jawatan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sebelum ini Fatihah berkhidmat sebagai Wakil Sah untuk ZTMB dan memainkan peranan penting dalam memfokus semula pada pertumbuhan strategik, memacu penyampaian produk dan inovasi, serta mencari peluang untuk mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju pasaran takaful di Malaysia.

 

Nur Fatihah memulakan kerjayanya bersama Zurich Malaysia pada tahun 2018 sebagai Ketua Perakaunan & Pelaporan Kewangan Takaful Am (FAR) sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengawal Takaful FAR.

 

Pada Disember 2022, Nur Fatihah telah memikul dua peranan sebagai Ketua Perancangan Strategi dan Pengurusan Prestasi untuk takaful keluarga.

 

Sebagai salah seorang wakil untuk Kumpulan Penyokong Pemimpin Wanita Zurich (FLAG), Nur Fatihah memupuk persekitaran inklusif yang memperkasakan bakat wanita dalam Zurich untuk mencapai kemajuan dengan yakin dan merealisasikan potensi penuh kepimpinan mereka. 

 

Selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UPM, Nur Fatihah juga merupakan Ahli Bertauliah Certified Practising Accountant (CPA) Australia dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Sementara itu, Nur Fatihah berkata, beliau berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di ZTMB dan memainkan peranan dalam memajukan industri takaful.

 

"Melalui penggunaan teknologi dan pemahaman yang mendalam tentang keperluan pelanggan, kami akan memberi lebih tumpuan kepada penyampaian penyelesaian takaful inovatif yang menyumbang kepada landskap kewangan yang lebih inklusif di Malaysia. 

 

"Saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan pengurusan dan lembaga pengarah kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin ZTMB ke tahap yang lebih tinggi. 

 

"Saya juga berharap perjalanan kerjaya saya akan menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mengejar cita-cita kepimpinan mereka,” ujarnya. - DagangNews.com