Aset rizab rasmi BNM bernilai AS$104.41 bilion  | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi BNM bernilai AS$104.41 bilion 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah A$D104,417.9 juta berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF).

Aset mata wang asing lain berjumlah AS$D1,611.5 juta pada akhir bulan Ogos 2020. 

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$8,725.1 juta.

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara. 

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak USD8,377 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak USD1,580 juta pada akhir bulan Ogos 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. 

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” kata BNM.

Butiran terperinci rizab antarabangsa itu memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Dalam pada itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,312.4 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. 

Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.1 juta. 

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. 

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelas BNM. - DagangNews.com