Skip to main content

Astro Awani-DagangNews.com bentuk kerjasama strategik, fokus bantu Malaysia jadi negara keusahawanan

Ashwad Ismail (kanan) bersama Johardy Ibrahim selepas mesyuarat terakhir membentuk kerjasama strategik di ibu pejabat Astro Awani, All Asia Broadcast Center Taman Technologi Malaysia, Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis – Saluran berita dan hal ehwal semasa nombor satu di Malaysia, Astro Awani dan portal DagangNews.com membentuk kerjasama strategik sebagai usaha memperhebat penyediaan kandungan berita perniagaan, keusahawanan dan korporat.

 

Idea membentuk kerjasama strategik ini muncul selepas diskusi dan tinjauan bersama sekumpulan peniaga mikro dan usahawan dalam talian yang mencadangkan agar ilmu dan maklumat berkaitan perniagaan diberi keutamaan dalam pemberitaan.

 

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, segmen DagangNews.com meluaskan lagi perspektif kandungan program berita Niaga Awani yang bersiaran setiap Isnin - Jumaat pukul 9 pagi di saluran 501 Astro AWANI dan laporan berita di astroawani.com.

 

‘’Melihat kepada peningkatan minat pembaca dan penonton  terhadap kandungan dunia perniagaan dan keusahawanan terutama anak-anak muda, ia mendorong kami membina kerjasama strategik dengan 'media start-up' yang berkongsi hala tuju dan aspirasi besar untuk membina Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Keusahawanan’ seperti DagangNews.com,’’ kata Ashwad.

 

Beliau berkata demikian semasa mengulas kolaborasi dengan DagangNews.com yang bermula secara rasmi hari ini.

 

Ashwad berkata, walaupun portal berita ini `masih baharu’ tetapi sidang editorialnya ditunjangi wartawan berita ekonomi yang berpengalaman.

 

Sementara itu, Pengarang Urusan DagangNews.com, Johardy Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan kolaborasi dengan Astro Awani yang merupakan stesen berita terbesar di Malaysia.

 

Malah kata beliau, kerjasama yang diistilahkan sebagai `menang-menang’ itu adalah seiring dengan pelan perniagaan tiga tahun syarikat itu, yang baharu ditubuhkan pada Jun 2020.

 

“Sebenarnya, DagangNews.com pernah berkolaborasi dengan TV Sarawak, juga sebagai penyedia kandungan pada tahun lalu dan pengalaman tersebut menjadi pemangkin kepada kami untuk bekerja dengan Astro Awani kali ini,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: DagangNews.com berkolaborasi dengan TV Sarawak

 

Menurutnya, fokus DagangNews.com sebagai platform berita perniagaan dan korporat di dalam Bahasa Malaysia walaupun berdepan persaingan sengit daripada media berbahasa Inggeris, namun dalam tempoh setahun setengah mampu meraih bilangan pembaca yang memberangsangkan. – DagangNews.com

 

Versi Inggeris: Astro Awani - DagangNews.com forms strategic collaboration, focuses on efforts to turn Malaysia into entrepreneurial nation