Awantec tandatangani perjanjian rangka kerja awan dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Awantec tandatangani perjanjian rangka kerja awan dengan kerajaan

KUALA LUMPUR 13 Mei - Awanbiru Technology Bhd. (Awantec) menerusi anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn. Bhd. (ASSB) memeterai perjanjian rangka kerja awan dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dan Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd. (penyedia perkhidmatan awan-CSP). 

 

Perjanjian itu bagi mewujudkan skop dan syarat asas untuk pembelian perkhidmatan awan CSP kepada kerajaan.

 

Di bawah syarat perjanjian itu, ASSB akan dilantik sebagai rakan kongsi eksklusif Google untuk penyediaan perkhidmatannya kepada kerajaan Malaysia, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Perjanjian itu adalah bagi tempoh selama 35 bulan bermula 1 Februari 2022 dan akan berakhir pada 31 Disember 2024.

 

"Tiada nilai kontrak dinyatakan dalam perjanjian ini. Langganan Perkhidmatan Awan CSP adalah melalui kontrak langganan yang akan ditandatangani antara pelbagai kementerian atau jabatan kerajaan dengan ASSB dan/atau CSP dalam tempoh perjanjian," katanya.

 

Penawaran perkhidmatan awan ini adalah sejajar dengan aktiviti teras Awantec untuk menyediakan perkhidmatan pelesenan dan perisian serta perkhidmatan pengurusan awan.

 

Menurut kumpulan, tanpa sebarang perkara dijangka, penyertaan ASSB dalam perjanjian tersebut akan meletakkan kumpulan sebagai MSP eksklusif untuk produk dan perkhidmatan Google kepada kerajaan.

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan kumpulan dan memberi impak positif ke atas pendapatan sesaham dan aset ketara bersih Awantec," tambahnya. - DagangNews.com