KUALA LUMPUR 11 Mac - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi dan Pengarah syarikat berkuat kuasa daripada 7 Mac 2022.
"MRT Corp mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan tidak ternilai dibuat oleh Datuk Azhar sepanjang tempoh perkhidmatannya serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," kata pemilik projek Aliran Transit Massa (MRT) itu dalam satu kenyataan ringkas.
Peletakan jawatan Azhar itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp pada 11 Mei tahun lalu.
Pelantikannya pada masa itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama MRT Corp dari 2011 hingga 2014.
Sebelum pelantikan itu, Azhar adalah Pengerusi FGV Holdings Bhd dari 2017 hingga April 2021.
Selepas meninggalkan MRT Corp pada 2014 hingga 2017, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation dan Pengarah Prusan Presiden/Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd. - DagangNews.com