Bajet 2021: Lanjutkan pas My30, pemotongan cukai - Prasarana | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021: Lanjutkan pas My30, pemotongan cukai - Prasarana

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Lanjutan pas RapidKL My30 dan pemotongan cukai antara perkara yang diingini oleh pemain industri kereta api menjelang pembentangan Bajet 2021.

Walaupun pandemik COVID-19 telah menjejaskan pertumbuhan industri berkenaan, namun ia kekal sebagai kaedah pengangkutan bandar yang cekap serta memerlukan sokongan dan inisiatif berterusan. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Muhammad Nizam Alias berharap kerajaan untuk mempertimbangkan pemotongan cukai bagi kadar tambang pengangkutan awam. 

 

Muhammad Nizam Alias
Muhammad Nizam Alias

 

“Terdapat juga keperluan strategi jangka masa pendek dan panjang yang menumpukan kepada kepelbagaian perniagaan dan teknologi digital, termasuk kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam mengekang dan mengawal COVID-19.

“Ini termasuk meraih semula kepercayaan pengguna komuter sedia ada dan menarik pengguna baharu,” katanya menurut laporan Bernama. 

Prasarana memiliki dan mengendalikan perkhidmatan kereta api di bandar termasuk rangkaian Transit Kereta Api Ringan (LRT), Monorel Kuala Lumpur dan Transit Kereta Api Massa (MRT). 

Syarikat itu baru-baru ini menjangkakan tidak dapat mencapai sasaran perolehan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan bagi 2021.

Ini berdasarkan jangkaan kerugian yang dicatatkan antara RM200 juta hingga RM500 juta pada tahun ini. 

Sehubungan itu, Muhammad Nizam percaya inisiatif bersesuaian perlu disediakan dengan pemerhatian  teliti dan berhati-hati. 

Sebagai contoh, insentif tunai kerajaan kepada golongan B40 dan M40 boleh disediakan dalam bentuk pas perjalanan tanpa had yang disubsidi bagi kereta api dan bas, dengan lanjutan dan perluasa pas My30 di kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar utama.  - DagangNews.com