KPJ Healthcare dan Trustr bergabung sediakan penyelesaian penjagaan kesihatan dipacu teknologi AI | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare dan Trustr bergabung sediakan penyelesaian penjagaan kesihatan dipacu teknologi AI

Majlis MoU antara KPJ dan Trustr di Kuala Lumpur pada 26 April 2024. - Gambar KPJ
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 April – KPJ Healthcare Berhad melalui institusi pendidikan utamanya, KPJ Healthcare University (KPJU), memeterai Memorandum Persefahaman dengan Trusx Malaysia Sdn Bhd (Trustr), sebuah organisasi kesihatan digital global, dalam langkah transformasi ke arah merevolusikan penjagaan kesihatan.

 

Kolaborasi strategik ini akan memfokuskan kepada memanfaatkan rangkaian kesihatan digital inovatif Trustr yang didorong oleh teknologi AI termasuk dompet kesihatan dan alat pengukuran vital dan biomarker non-invasif yang menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mendapatkan maklumat kesihatan penting tanpa perlu melakukan sebarang prosedur invasif atau mengambil sampel darah.

 

Teknologi ini mempunyai aplikasi yang luas, termasuk pengesanan penyakit awal, pemantauan kesihatan dari jarak jauh dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD).

 

Setelah proses pengesahan teknologi dilengkapkan di KPJU, Kumpulan berhasrat untuk merintis aplikasi teknologi tersebut kepada pesakit melalui saluran digital dan kemudahan runcit.

 

 

irsyad

Majlis menandatangani MoU telah dihadiri oleh wakil-wakil utama dari KPJ Healthcare, KPJU dan Trustr termasuk Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi (Kumpulan Operasi Kesihatan Bersekutu dan Runcit) KPJ Healthcare; Vidyasagar Gudapati, Ketua Pegawai Teknologi Trusx Plus (Trustr); Datuk Dr. Senasi, Pengerusi Trusx Malaysia (Trustr); Ananth Subramanian, Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Trusxplus Inc (Trustr), Amerika Syarikat dan Dr. Mizarina Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPJU.

 

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, kerjasama ini amat penting dalam usaha mengintegrasikan KPJ dan KPJU yang mana ia merupakan sebahagian daripada pelan perancangan KPJ untuk membentuk Sistem Kesihatan Akademik swasta pertama di Malaysia.

 

Beliau berkata, KPJ secara aktif mentakrifkan semula konsep berpusatkan pesakit dalam perubahan pesat landskap yang dipacu oleh teknologi pada hari ini.

 

"Kerjasama yang terjalin ini merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan sasaran kami yang didorong oleh komitmen bersama untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperkasakan individu dalam mengurus kesihatan dan kesejahteraan mereka secara proaktif.

 

"Bekerjasama dengan Trustr, matlamat kami adalah untuk merevolusikan penyediaan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kadar kesembuhan pesakit ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya lagi.

 

Sementara itu, Ananth Subramaniam berkata, alat pengukur biometrik dan vital yang dipacu teknologi AI Trustr dan health wallet digital merupakan sebuah anjakan paradigma dalam mengubah cara seseorang individu memantau dan mengurus kesihatan mereka secara proaktif.

 

Dr. Ahmad Syahid Mohd Fadzil, Ketua Penyelidik bagi projek dan penilai teknologi di KPJU, berkata, "Di KPJ Healthcare University, kami komited dalam mengoptimumkan penjagaan pesakit melalui teknologi inovatif dan amalan berasaskan bukti".

 

"Kerjasama kami dengan pemain utama industri seperti Trustr membolehkan kami memanfaatkan solusi canggih dan memacu hasil yang berkesan dalam penyampaian penjagaan kesihatan."

 

Kerjasama ini jelas membuktikan komitmen KPJU untuk menerajui penyelidikan dan inovasi teknologi AI dalam penjagaan kesihatan.

 

Dengan mengintegrasikan kecerdasan dan teknologi, KPJU menyasarkan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang maju bagi memastikan penjagaan dan kesejahteraan pesakit terus diutamakan. - DagangNews.com