Rancangan Dialog melanggan 27.78% saham RGTP bakal tingkatkan pendapatan kumpulan kepada RM10 juta - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Rancangan Dialog melanggan 27.78% saham RGTP bakal tingkatkan pendapatan kumpulan kepada RM10 juta - penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Cadangan Dialog Group Bhd melanggan 27.78% saham Regas Terminal Sdn Bhd (RGTP) dijangka meningkatkan sumbangan syarikat bersekutunya sebanyak RM5 juta kepada RM10 juta setahun, kata Maybank Investment Bank Bhd. 

 

Melalui perkongsian tersebut, Dialog akan memegang 72.22% saham RGTP, melalui projek unit pengasingan udara (ASU) di Pengerang.

 

Ini merupakan perkongsian kedua Dialog brsama Petronas Gas, di mana kerjasama pertama mereka melibatkan pembangunan PLNG2, manakala projek ASU akan ditempatkan bersebelahan dengan PLNG2.

 

"Kemudahan itu akan mula disewakan kepada pemain pasaran gas industri yang berpengalaman selama 25 tahun, di mana mereka akan mengendalikan operasi, penyelenggaraan & pemasaran gas yang dihasilkan.

"Sebagai balasan, RGTP akan menerima piagam bulanan tetap.

 

"Kami menganggarkan IRR (kadar pulangan dalaman) projek ini pada 9% dan sumbangan syarikat bersekut mewakili 2% daripada ramalan keuntungan bersih terasnya Dialog bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 (FY2027)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Projek ASU dijangka siap menjelang akhir 2026. 

 

Walau bagaimanapun, di sebalik kenaikan pendapatan yang sedikit, Maybank IB tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan dan mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.97 ke atas saham Dialog. 

 

"Kami masih menunggu kumpulan itu mengemas kini mengenai kemungkinan insentif cukai sebagai sebahagian daripada barangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

"Walaubagaimanapun, Dialog merupakan salah satu kumpulan pilihan utama sektor kami dalam sektor minyak dan gas (O&G) ," katanya.

 

Dalam pada itu, memetik Petronas, kos pembinaan dan pentauliahan perolehan kejuruteraan (EPCC) projek itu berjumlah RM368 juta.

 

Maybank IB berkata, dari perspektif ESG, usaha niaga ini dijangka menurunkan penggunaan elektrik sebanyak 25% dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 15,000 tan/tahun.

 

Dalam nota penyelidikan yang berasingan, MIDF Research berkata, keberkesanan kos ASU dipacu LNG akan memberi manfaat kepada Petronas Gas serta menonjolkan kumpulan itu sebagai salah satu penyedia rumusan tenaga mampan dalam sektor itu. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan TP RM19.23 ke atas saham Petronas Gas, disebabkan garis masa penyiapan projek itu selama dua tahun.

 

“Memandangkan pasaran ASU bernilai kira-kira RM28 bilion pada 2023, kadar pertumbuhan tahunan terkompaun dijangka pada paras  5% dalam garis masa selama 10 tahun didorong oleh peningkatan permintaan daripada sektor minyak dan gas.

 

"Kami percaya pajakan dan operasi jangka panjang cadangan ASU dipacu LNG akan menyumbang secara positif kepada kedua-dua syarikat,” katanya. - DagangNews.com