Banjir : Kerosakan ladang sawit hanya sementara, minimum - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Banjir : Kerosakan ladang sawit hanya sementara, minimum - Kenanga Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Semakan yang dijalankan Kenanga Research mendapati kesan ke atas kerosakan pokok sawit adalah minimum dan tidak menjejaskan hasil dengan ketara melainkan keadaan hujan lebat dan semakin merebak. 

 

Ini berikutan banjir kilat yang berlaku hujung minggu baru-baru ini telah menjejaskan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. 

 

Penganalisisnya, Koh Huat Soon berkata, bagi syarikat perladangan seperti FGV Holdings Bhd. yang 57% ladangnya tertumpu di Semenanjung Malaysia, kurang daripada 2 hingga 3% ladangnya berdepan masalah banjir. 

 

"Bagi mereka yang bimbang dengan kebun benih kelapa sawit Sime Darby Plantation di Banting, Selangor, boleh menarik nafas lega kerana ia mempunyai kebun lain di Sabah, Indonesia dan Papua New Guinea. 

 

"Syarikat perladangan seperti Hap Seng Plantations Bhd., Ta Ann Bhd. dan TSH Resources Bhd. pula langsung tidak mempunyai ladang sawit di barat Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, Huat Soon berkata, impak sebenar terhadap ladang sawit ini bergantung kepada lokasinya, bentuk muka bumi dan sejauh mana keberkesanan saliran yang dilaksanakan di kawasan ladang.

 

Katanya, kebanyakan pemain industri telah melabur dari segi infrastruktur dalam menangani situasi hujan lebat.

 

"Setakat ini, beberapa ladang sawit di Pahang, Selangor, Kelantan dan Terengganu dilanda banjir tetapi melainkan hujan lebat dan semakin merebak, kurang daripada 2 hingga 3% jumlah kawasan dianggarkan terjejas. Namun begitu, kerosakannya mungkin sementara dan minimum," jelas beliau.

 

Menurutnya, asas industri minyak sawit dalam beberapa bulan akan datang dijangka berdepan cabaran sama ada masalah kekurangan tenaga buruh yang tidak dijangka, cuaca buruk atau perkembangan negatif mengenai persaingan minyak lain dan lelemak. 

 

Oleh itu, katanya, jika terdapat sebarang perkembangan negatif ke atas sektor itu akibat banjir, harga minyak sawit mentah berkemungkinan kekal kukuh lebih lama.

 

"Kami mengekalkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) kami dan juga pandangan 'neutral' kami setakat ini. 

 

"Pilihan bersepadu kami dengan margin keseluruhan defensif terhadap kebolehubahan harga minyak sawit mentah ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. dengan saranan 'outperform' dan harga sasaran RM23.60," katanya. - DagangNews.com