Skip to main content

Bank Islam kini institusi perbankan Islam tulen, lengkap disenaraikan di Bursa Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed menyaksikan permulaan dagangan saham Bank Islam bermula pukul 9 pagi tadi.

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Bank Islam Malaysia Bhd., melakar satu lagi peristiwa penting dalam industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini. 

 

Kejayaan itu dicapai setelah kumpulan melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Bhd. sekali gus menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula kumpulan BIMB meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat.

 

Langkah penjajaran semula dalaman ini turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang melibatkan pengagihan semula semua pegangan BIMB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. (Takaful Malaysia), kepada pemegang saham BHB, seterusnya, pemindahan status penyenaraian BIMB di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

 

Pada masa sama, BIMB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan bank mengambil peranan sebagai syarikat induk. 

 

Menerusi langkah ini, ia menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali Takaful kendiri dengan
pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaannya serta menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini. 

 

Katanya, melalui penyenaraian ini, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan dengan cekap. 

 

"Di samping itu, kumpulan akan mempunyai skala dan keupayaan yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhan organik. 

 

"Penyenaraian ini membuka peluang kepada pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan kumpulan Bank Islam baharu, meliputi BIMB Investment Management Bhd. dan BIMB Securities Sdn. Bhd.," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau lagi, melalui pendekatan bersinergi dan holistik, Bank Islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025.

 

Baca : Bank Islam ambil alih penyenaraian BIMB di Bursa Malaysia mulai pagi ini

 

Penyenaraian ini memberi kedudukan menguntungkan buat Bank Islam dalam memanfaatkan pertumbuhan kewangan Islam dan pasaran modal Islam, sejajar dengan usaha untuk mengembangkan asas pelanggan bank. 

 

Dengan jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion, Bank Islam kini memulakan strategi pelan perniagaan 5 tahun (dikenali sebagai LEAP25) yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam norma baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

 

Bank Islam akan meneruskan hala tuju perniagaannya ke arah mencapai matlamat LEAP25 melalui 5 pemacu perniagaan merangkumi Kewangan Sosial, Pengurusan Kekayaan, Perusahaan dan Perbankan Borong serta Bank Digital.

 

Komited mencapai visi sebagai sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, cabang Kewangan Sosialnya, Pusat Kewangan Sosial, akan meneruskan fungsi untuk meningkatkan peranan dan manfaat instrumen kewangan sosial Islam. Bank akan menggunakan Sedekah, Zakat dan Wakaf untuk membantu golongan rentan, kurang atau tidak mendapat perkhidmatan perbankan yang amat diperlukan. 

 

Pendigitalan adalah infrastruktur teras yang akan menjadi pendorong untuk mencapai misi yang ditetapkan.

 

Ketika dunia terus bergelut dengan pandemik COVID-19, Kumpulan akan terus fokus menerapkan prinsip Syariah, Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan pertimbangan ESG untuk kekal berdaya tahan dan mempromosikan rangkuman kewangan untuk semua. 

 

Bank juga akan terus menyediakan sokongan dan sumbangan ke arah menjana semula ekonomi Malaysia, khususnya pasca pandemik, serta merancakkan lagi pembangunan dan pertumbuhan kewangan Islam dan industri perbankan dalam era kemajuan teknologi.

 

Mohd. Muazzam berkata, Bank Islam menerima sambutan luar biasa dan permintaan kukuh daripada pelabur
runcit dan institusi, domestik dan antarabangsa, termasuk beberapa nama besar dalam komuniti pelaburan.

 

"Bagi pihak kumpulan, saya mengalu-alukan semua pemegang saham dan pelabur agar terus bersama kami melangkah ke masa hadapan yang lebih baik untuk Bank Islam dan seterusnya memangkin pertumbuhan pasaran ekuiti Islam dalam negara dan rantau ini.

 

"Kami berharap dapat meningkatkan penarafan dan penilaian untuk kumpulan Bank Islam yang baharu.

 

“Terima kasih atas kepercayaan, kesetiaan dan keyakinan terhadap bank dan saham kami ketika kami mengatur langkah ke arah masa hadapan yang baharu untuk industri perbankan Islam,” jelas beliau.

 

Maybank Investment Bank Bhd. berperanan sebagai Penasihat Utama dalam pelaksanaan penyusunan semula BHB. - DagangNews.com