BAT Malaysia capai neutral karbon untuk kilang di Johor, sasar pelepasan sifar bersih menjelang 2050 | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia capai neutral karbon untuk kilang di Johor, sasar pelepasan sifar bersih menjelang 2050

(Dari kiri) Pengurus Kilang BAT Malaysia Johor, Mohan Baskaran; Pengarah Rantaian Bekalan BAT Malaysia, Remeena Prabhakaran; Sazali Mohamad dan Bryce Matthew Green ketika pelancaran kilang sistem solar di Johor Bahru.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) mencapai neutral karbon untuk kilangnya di Johor Bahru, seterusnya mengesahkan komitmen kumpulan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Pensijilan yang diterima kumpulan adalah mengikut PAS 2060, spesifikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk neutral karbon bagi tempoh 1 Disember 2020 hingga 30 November 2021.

 

Perkara penting tersebut diumumkan semasa pelancaran kilang tenaga solar yang dirasmikan Pengarah Kastam negeri, Sazali Mohamad.

 

Sistem tenaga suria yang dipasang sepenuhnya pada Mei 2022 akan menjana tenaga 103Mwj (megawatt-jam) setiap tahun, menjanakan kira-kira 60% kilang sepanjang tahun. Secara keseluruhan, sistem tenaga suria akan menjana penjimatan hampir RM1 juta dalam tempoh 20 tahun.

 

Pengarah Pemasaran Komersial BAT Malaysia, Bryce Green berkata, perniagaan mempunyai peluang yang mendalam untuk membantu membina masa depan yang lebih mampan. 

 

Beliau berkata, tindakan iklim boleh menjadi asas kepada era baharu potensi inovatif, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

 

“Kami berbangga untuk melancarkan sistem tenaga solar secara rasmi hari ini, yang merupakan bukti semangat kami dalam membina 'A Better Tomorrow' untuk semua pihak berkepentingan dan kunci kepada pencapaian status neutral karbon kami. 

 

"Pensijilan global ini mengikuti pengurangan selama bertahun-tahun yang dibuat pada setiap peringkat rantaian bekalan dan merupakan sebahagian daripada cita-cita jelas yang telah kami tetapkan  dalam mengurangkan pelepasan merentas semua unit perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau (GHG) BAT Malaysia ialah penggunaan kilang, armada dan elektriknya. Pada tahun 2021, kumpulan mencapai pengurangan jumlah pelepasan karbon sebanyak 10.5% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Ia disebabkan pelbagai inisiatif, termasuk penstrukturan semula model perniagaannya dan kempen penjimatan tenaga. 

 

Menjelang 2030, kumpulan komited untuk menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan skop 1 dan 2 pelepasan sebanyak 30% dan skop 3 (semua pelepasan GHG tidak langsung lain) sebanyak 50% dengan 2017 sebagai garis dasar. - DagangNews.com