Bayaran pendahuluan RM84.7 juta jika Malaysia pilih vaksin COVID-19 dari COVAX? | DagangNews Skip to main content

Bayaran pendahuluan RM84.7 juta jika Malaysia pilih vaksin COVID-19 dari COVAX?

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Malaysia perlu membayar wang pendahuluan sehingga RM84.7 juta wang pendahuluan pada 9 Oktober ini sekiranya bersetuju mendapatkan vaksin COVID-19 daripada COVAX.

Penyelaras COVAX sebelum ini telah mengeluarkan mekanisme pembayaran bagi negara-negara yang ingin membeli vaksin COVID-19 menerusi pelan global daripada bajet nasional masing-masing. 

Berdasarkan pengiraan portal kesihatan di Malaysia, CodeBlue, Malaysia perlu membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM84.7 juta untuk mendapatkan 12.8 juta dos vaksin yang cukup untuk 6.4 juta rakyat daripada 32 juta jumlah populasi.

Wang pendahuluan itu adalah penambahan kepada jaminan kewangan sebanyak RM473.76 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM558.46 yang perlu dilaksanakan pada 9 Oktober ini.

Sementara itu, syarikat farmaseutikal China, Sinopharm meletakkan harga vaksin COVID-19 bernilai RM600.17 bagi dua dos atau RM300 bagi satu dos, hampir tujuh kali ganda lebih mahal daripada jumlah keseluruhan ditawarkan COVAX bagi setiap dos. 

“Pembelian vaksin COVID-19 dari Sinopharm bermaksud negara bakal menelan belanja sehingga RM3.8 bilion bagi 12.8 juta dos untuk memvaksinkan 20% populasi rakyat Malaysia, berbanding RM559 juta menerusi COVAX,” kata CodeBlue.

Pada Sabtu lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan selain menyertai COVAX, Malaysia juga berunding dengan China.

Selain itu, Kementerian Kesihatan telah menandatangani perjanjian tertutup dengan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa yang menguji vaksin percubaan COVID-19 pada fasa ketiga. 

Dalam pada itu, COVAX merupakan platform yang dikembangkan untuk menyokong penyelidikan, pengembangan, dan pembuatan pelbagai jenis vaksin COVID-19. 

Berdasarkan dokumen COVAX, negara peserta yang memilih pembiayaan sendiri boleh menyertai pelan itu menerusi ‘Committed Purchase’ atau ‘Optional Purchase’.

Ini bermakna, sekiranya Malaysia menyertai COVAX sebagai negara peserta pembiayaan sendiri, kerajaan perlu mendapatkan dana daripada Bajet 2020, memandangkan Bajet 2021 hanya akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan. - DagangNews.com