Bekas CEO Transmile dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Tinggi | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Transmile dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Tinggi

Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan waran tangkap terhadap Gan Boon Aun dan meminta orang ramai untuk membantu mengesannya.

KUALA LUMPUR 26 Jan - Mahkamah Tinggi hari ini menaikkan hukuman penjara terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Transmile Gan Boon Aun kepada 24 bulan, sekali gus membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap hukuman penjara satu hari yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

 

Mahkamah Tinggi juga mengekalkan denda awal sebanyak RM2.5 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos 2020, kata SC dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Gan disabitkan kesalahan kerana memberi kenyataan yang mengelirukan dengan niat untuk menipu berkaitan pendapatan Transmile Group Bhd dalam Laporan Suku Tahun syarikat mengenai Keputusan Disatukan yang Belum Diaudit bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2006.

 

Penyata mengelirukan mengenai jumlah pendapatan terdiri daripada lebih RM333 juta angka jualan yang direka.

 

Sabitan Gan adalah di bawah seksyen 122B yang dibaca bersama seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mengambil maklum usaha yang dilakukan oleh SC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Gan bahawa beliau telah mengelak daripada ditangkap, sekali gus gagal menghadiri perbicaraan rayuan.

 

Gan masih bebas dan SC sedang mendapatkan maklumat daripada pihak awam untuk mengesannya. - DagangNews.com