Belanjawan 2022 : MVIA cadang laksana peraturan kawal selia vape | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022 : MVIA cadang laksana peraturan kawal selia vape

 

 


KUALA LUMPUR 15 Sept. – Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) menggesa kerajaan supaya memperkenalkan peraturan kawal selia industri vape dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Oktober ini. 

 

Malah, MVIA percaya dengan pelaksanaan peraturan tersebut, ia akan dapat membantu menyemarakkan ekonomi dan mampu menarik pelaburan asing ke dalam negara dalam industri vape serta memastikan perlindungan kepada pengguna dari segi kualiti produk.

 

Presidennya, Rizani Zakaria berkata, pihak industri telah memperjuangkan pelaksanaan peraturan bagi memperkasa industri ini sejak sekian lama dan apabila keadaan negara yang bergelut dengan pelbagai isu ekonomi dan kesihatan, sudah tiba masanya ia diguna pakai dan dilaksanakan.

 

“Kami berharap cadangan ini mendapat perhatian kerajaan untuk segera mengawal selia industri vape tempatan. 

 

"Sudah semestinya kami di MVIA bersedia membantu kerajaan dan menjadi suara industri untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan peraturan kawal selia tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Rizani Zakaria
Rizani Zakaria

 

 

Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan cadangan ini kepada kementerian yang berkenaan dan pada masa sama akan memohon sesi konsultasi bersama kerajaan untuk memberi maklum balas berkenaan keperluan peraturan dalam industri vape.

 

Ini kerana katanya, industri yang kuat dan kukuh bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri dan pengguna tetapi juga menggalakkan usahawan terutama umiputera untuk terlibat dalam rantaian bekalan seterusnya menawarkan peluang pekerjaan.

 

Setakat ini, industri vape telah berjaya menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan mampu menjana berbilion ringgit kepada ekonomi tempatan. 

 

MVIA turut menganggarkan industri vape tempatan bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan berdaftar.

 

“Kita sedia maklum bahawa kerajaan sedang dalam fasa memulihkan negara melalui Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Kerajaan harus menyenaraikan industri vape sebagai salah satu fokus yang boleh membantu pembangunan ekonomi, modal insan dan kesihatan awam,” katanya.

 

Rizani berkata, majoriti pengguna vape di Malaysia adalah bekas perokok dan mereka mendukung polisi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) dan hanya dengan peraturan, produk vape dapat membantu perokok berhenti merokok dengan bertukar kepada alternatif yang kurang mudarat.

 

“Hanya dengan peraturan, satu standard dapat ditetapkan dan kualiti produk akan terjamin. Bukan itu sahaja, tetapi peraturan juga perlu mengambil kira perbezaan hasil tembakau dan vape. 

 

"Satu adalah produk yang terbukti berbahaya dan memberi risiko kesihatan yang tinggi manakala vape telah terbukti produk yang kurang mudarat dan membantu perokok berhenti merokok," tambahnya.

 

Sehubungan itu, beliau menegaskan, peraturan tersebut perlu mempunyai perbezaan untuk membolehkan produk vape yang kurang mudarat dipromosikan untuk membantu perokok berhenti merokok dan mengurangkan kadar perokok di Malaysia. - DagangNews.com