Belanjawan Kedah 2021 sebanyak RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Belanjawan Kedah 2021 sebanyak RM1 bilion

Oleh EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com

 

ALOR SETAR 15 Nov. -  Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Kedah 2021 berjumlah RM999.878 juta dengan RM200.99 juta darinya dianggarkan akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus pula dianggarkan sebanyak RM798.8 juta iaitu peningkatan sebanyak lima peratus atau RM39 juta berbanding tahun lalu.
 

"Di bawah peruntukan mengurus, pecahan diperuntukkan adalah seperti berikut iaitu perbelanjaan tanggungan sebanyak RM88.9 juta manakala perbelanjaan perbekalan sebanyak RM709.9 juta.
 

"Dengan mengambil kira unjuran hasil, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan kerajaan, defisit bagi tahun 2021 dianggarkan pada 11 peratus atau bersamaan RM78.88 juta," katanya pada pembentangan belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri Kedah, di sini.  
 

Jumlah defisit tersebut meningkat berbanding 8.2 peratus atau RM57.547 juta yang dibentangkan PH dalam Bajet 2020 sebelum ini.
 

Muhammad Sanusi berkata, Bajet Kedah 2021 akan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu mencergaskan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat, mensejahterakan rakyat dan menambah baik kualiti hidup masyarakat, membina insan dan melestarikan kehidupan serta memantapkan tadbir urus dan meningkatkan sistem penyampaian.  

 

"Kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM720 juta pada 2021. Daripada jumlah ini, RM314 juta adalah hasil cukai (44 peratus), RM246 juta hasil bukan cukai (34 peratus) dan RM160 juta (22 peratus) adalah terimaan bukan hasil.

 

"Bagi tahun 2021, hasil dianggarkan meningkat sebanyak RM18 juta bersamaan 2.5 peratus berbanding 2020," katanya.

 

aaa
Muhammad Sanusi menunjukkan teks Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangnya di Dewan Undangan Negeri Kedah, hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi tahun ini, Muhammad Sanusi berkata sehingga 13 November lalu, jumlah terimaan hasil kerajaan negeri adalah sebanyak RM504 juta atau 72 peratus daripada anggaran hasil 2020 iaitu RM701.94 juta.  

 

Menurutnya, kutipan tersebut dilihat berkurang berbanding anggaran disebabkan beberapa faktor antaranya kemudahan penangguhan dan pelanjutan bayaran cukai tanah yang mengecualikan denda lewat berkuat kuasa 1 Jun 2020 hingga 30 September 2020, pengecualian bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 kepada penghuni skim Program Perumahan Rakyat (PPR) serta pengecualian bayaran sewaan premis kerajaan seperti sewaan kantin bagi Mac hingga Jun 2020.

 

"Sehingga 13 November tahun ini, perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM463.9 juta iaitu 61 peratus berbanding anggaran perbelanjaan 2020 meliputi pembayaran emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian dan lain-lain perbelanjaan.

 

"Jumlah perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Pembangunan pula adalah sebanyak RM74 juta atau 40.6 peratus daripada anggaran sebanyak RM182 juta yang ditetapkan dalam Bajet 2020. Prestasi perbelanjaan yang rendah berkait rapat dengan pandemik COVID-19 di mana sesetengah projek fizikal tidak dapat dilaksanakan disebabkan sekatan pergerakan dan pematuhan SOP di lapangan," katanya.

 

Dalam pembentangan bajet tersebut, antara yang menarik perhatian adalah pemberian bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 seorang kepada semua penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri melibatkan peruntukan RM5.6 juta yang akan dilunaskan pada Disember 2020.

 

Sebagai penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti bagi mengekang penularan COVID-19, kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan 'one-off' sebanyak RM200 kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang akan dikreditkan pada akhir tahun ini.

 

Selain itu kerajaan negeri turut memperkenalkan program 'Beras Sejahtera' di mana setiap keluarga yang layak akan diberikan RM50 sebulan yang akan membantu 100 keluarga di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap bulan.

 

Satu lagi program dikenali sebagai 'Anakku Sejahtera' turut diperkenalkan dengan peruntukan RM1 juta di mana setiap bayi yang dilahirkan oleh keluarga layak serta memenuhi syarat ditetapkan, akan menerima Skim Simpanan Pendidikan Nasiona (SSPN) bernilai RM100 secara 'one-off'.

 

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada  Tabung Wanita Sejahtera dalam bentuk sumbangan modal kepada wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan manakala RM500,000 lagi disediakan  untuk bantuan membeli peralatan perubatan kepada golongan miskin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Hospital Sultanah Maliha (HSM) dan Hospital Kulim.

 

Bantuan mengurus kepada setiap Pusat Khidmat ADUN kerajaan sebanyak RM8,000 diteruskan. Selain itu, buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negeri, peruntukan sebanyak RM2,000 sebulan diberikan sebagai bantuan belanja mengurus pusat khidmat ADUN-ADUN pembangkang.  

 

Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan di bawah B.02 (Belanja mengurus) sebanyak RM1 juta kepada setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan portfolio masing-masing, RM150,000 kepada setiap ADUN kerajaan serta RM100,000 untuk penyelaras DUN.

 

Peruntukan turut disediakan kepada setiap ADUN pembangkang bagi menyantuni golongan memerlukan di kawasan masing-masing berjumlah RM50,000. - DagangNews.com