Skip to main content

Berjaya Corporation jual kepentingan dalam Razer Fintech pada harga RM223.89 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Berjaya Corporation Bhd (BCorp) telah menjual 30 peratus kepentingan ekuiti dalam Razer Fintech Holdings Pte Ltd kepada Razer Midas Pte Ltd dengan pertimbangan tunai AS$53.57 juta (RM223.89 juta). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif BCorp Jalil Rasheed berkata, Berjaya Fintech Sdn Bhd (BFintech) memiliki 49 peratus kepentingan dalam Razer Fintech, manakala Razer Midas memegang 51 peratus baki kepentingan. 

 

“Berikutan penjualan itu, BFinTech kini memegang 19 peratus kepentingan dalam Razer Fintech," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kumpulan itu turut menjual 70 peratus kepentingannya dalam Berjaya China Motor Sdn Bhd kira-kira RM13.28 juta secara tunai dan menjual perniagaan percetakannya, Graphic Press Group Sdn Bhd kira-kira RM26.1 juta. 

 

Jalil berkata, penjualan kepentingan kumpulan dalam Razer Fintech dan Berjaya China Motor serta penutupan Graphic Press adalah sebahagian daripada strategi transformasinya untuk menyelaraskan operasi, menjual aset bukan teras, dan menumpukan kepada peluang pertumbuhan yang lebih tinggi merentasi perniagaan terasnya untuk meningkatkan nilai pemegang saham. 

 

“Dalam kes Razer Fintech, ia lebih menarik kerana kami menerima pulangan yang signifikan dalam pelaburan kami dalam masa yang agak singkat," katanya.   

 

Pada Jun tahun lepas, BCorp melancarkan pelan strategik tiga tahun untuk memajukan kumpulan itu ke hadapan sebagai kumpulan pengguna berprestasi tinggi berinstitusi yang memfokuskan kepada segmen perniagaan teras. 

 

Proses itu menurut BCorp bertujuan mengoptimumkan sumber, meningkatkan sinergi dan kecekapan dalam kumpulan, dan mempertingkat tadbir urus korporat dan ketelusan. -DagangNews.com