Bermula 1 Mei 2022, imbas MySejahtera ketika masuk premis tidak diwajibkan | DagangNews Skip to main content

Bermula 1 Mei 2022, imbas MySejahtera ketika masuk premis tidak diwajibkan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 27 April - Kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai mendaftar masuk aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau kawasan awam, berkuat kuasa 1 Mei 2022.

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.

 

Beliau berkata, pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.

 

"Individu dengan status 'High Risk' (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.

 

"Justeru, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO. Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19,," katanya dalam sidang media khas hari ini.

 

Sementara itu, Khairy berkata, kemasukan ke premis dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi.

 

 

kj

 

 

Bagaimanapun individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis merangkumi mereka yang positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

 

 

kj

 

 

Katanya, selain itu individu lain yang tidak dibenarkan adalah mereka dalam tempoh HSO, termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia. - DagangNews.com