Skip to main content

Bigo Live lancar acara penstriman paranormal 'Hungry Ghost' bermula 9 hingga 14 Ogos 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Platform penstriman dalam talian terkemuka global, Bigo Live teruja untuk mengumumkan pelancaran 'Hungry Ghost', sebuah acara penstriman secara langsung paranormal khas. 

 

Diadakan dari 9 hingga 14 Ogos antara 12 pagi dan 4 pagi waktu tempatan, ‘Hungry Ghost’ akan menyaksikan tujuh penyiar Bigo Live memulakan ekspedisi paranormal di seluruh Malaysia dan menstrim secara langsung pengembaraan mereka secara eksklusif menerusi aplikasi Bigo Live.

 

Diadakan sempena Hungry Ghost Festival, acara itu akan menampilkan beberapa penyiar Bigo Live paranormal terkemuka di Malaysia, termasuk Dauz (ID Bigo: Muhammad_Dauz); Syafiq (ID Bigo: Tah_lah); Uda (ID Bigo: FPB.udaJB); BossBean (ID Bigo: Mr.beanzzz); BossWan (ID Bigo: DeejayWan88); dan Loy (ID Bigo: LOY_AHMAD).

 

Mereka akan membawa penonton mengembara ke tempat yang tidak diketahui dan meneroka beberapa tempat paling popular di Malaysia.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bigo Live untuk menyediakan pengguna pengalaman penstriman langsung yang mengasyikkan dan menarik, penonton bertuah juga akan berpeluang untuk menyertai penyiar secara peribadi semasa salah satu ekspedisi paranormal mereka. 

 

Pengguna Bigo Live hanya perlu menonton sesi strim secara langsung masing-masing dan berinteraksi dengan tujuh penyiar untuk melayakkan diri ke pengembaraan paranormal seterusnya. 

 

Pengguna terpilih akan dimaklumkan dua hari sebelum tarikh pengembaraan dan diumumkan secara langsung semasa strim langsung penyiar.

 

Pengurus Bigo Live Malaysia, Vivian He berkata, menerusi Hungry Ghost, mereka mahu membawa satu lagi dimensi kepada kandungan setempatnya yang pelbagai dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman penstriman langsung yang berbeza. 

 

"Kami teruja dengan barisan penyiar Bigo Live yang mengambil bahagian dalam acara itu, dan kami berharap pengguna kami akan dapat berinteraksi dengan mereka dengan cara yang tidak mungkin dilakukan sebelum ini. 

 

"Kami menantikan acara yang menarik, namun penuh penghormatan dan kami berharap pengguna kami akan dapat menikmatinya juga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hungry Ghost adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bigo Live untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan pelbagai tawaran pan-hiburan sambil menawarkan penggunanya pengalaman penstriman langsung yang menarik dan mengasyikkan. - DagangNews.com