BKM: Langkah kerajaan lebih bersifat bersasar, mampu ringankan beban kewangan golongan rentan – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

BKM: Langkah kerajaan lebih bersifat bersasar, mampu ringankan beban kewangan golongan rentan – Pakar Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 23 Jun - Langkah kerajaan untuk memberi tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan suatu bentuk penyusunan semula keutamaan supaya subsidi atau bantuan kerajaan lebih bersifat bersasar, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

Selain itu katanya, penambahan bantuan tunai BKM juga dilihat mampu untuk meringankan bebanan kewangan bagi golongan rentan.

 

“Meskipun demikian, rakyat Malaysia amnya disaran agar terus berhemah dalam merangka kewangan mereka.

 

"Ini adalah tekanan inflasi yang berkemungkinan melanda dalam jangka masa terdekat ini. Sebarang bentuk pembaziran harus dielakkan sepenuhnya," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Dr Afzanizam berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan semalam bahawa bantuan bayaran tambahan kepada penerima BKM ekoran cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan dihadapi rakyat ketika ini.

 

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas semalam.

 

Perdana Menteri berharap bantuan tambahan tersebut akan  meringankan beban rakyat yang terkesan susulan kenaikan inflasi ketika ini, khususnya kepada golongan B40.

 

Bantuan tambahan RM100 akan diberi kepada isi rumah, sementara RM50 untuk individu bujang.

 

 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
     Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Menurut Ismail Sabri, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

 

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima, merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.

 

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Phubieyas Ahmad yang diwawancara DagangNews.com  melahirkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan kerana terus prihatin terhadap golongan B40 ini.

 

“Saya sangat bersyukur atas keprihatinan kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri yang selalu prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah.

 

“Walaupun bunyi jumlah macam sedikit tetapi harus kita ingat ramai di antara kita yang memerlukan bantuan ini, jadi kita sepatutnya bersyukur dengan bantuan yang diberikan, tegas Phubieyas.

 

 

Phubieyas Ahmad
Phubieyas Ahmad

 

 

Selain itu beliau juga menyarankan agar kerajaan menstabilkan harga barangan dengan memperbanyakkan pengeluaran dalam negara.

 

Beliau juga mengharapkan kerajaan menggalakkan rakyat bercucuk tanam secara kecilan di kediaman masing-masing bagi kegunaan sendiri. - DagangNews.com