BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 8.9% pada suku kedua  | DagangNews.com Skip to main content

BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 8.9% pada suku kedua 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9% pada suku kedua berbanding 5% pada suku sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh. 

 

Permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan. 

 

Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula. 

 

Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan. 

 

Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5%.

 

"Pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8% dan 2.5%. 

 

"Inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sumber : BNM

 

Kadar tukaran

 

Ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua (sejak awal tahun hingga 10 Ogos 2022: -6.3%). 

 

Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (suku kedua 2022: -4.7%; sejak awal tahun sehingga kini: -5.8%). 

 

Hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine. 

 

"Bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan perkembangan luaran pada suku itu. 

 

"Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang ketara, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya. 

 

"Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Keadaan pembiayaan

 

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 4.9% (berbanding 4.5% pada suku pertama 2022) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi iaitu 5.4%. 

 

Pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana pada 3.4% apabila pertumbuhan penebusan bon terus mengatasi pertumbuhan terbitannya. 

 

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.5% berikutan pengembangan yang kukuh bagi pengeluaran pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan. 

 

Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat kepada 5.7% berbanding 4.8% pada suku pertama, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman. 

 

Pengeluaran pinjaman kekal mantap berikutan permintaan pinjaman yang kukuh, khususnya bagi pembelian kereta dan rumah. 

 

"Secara keseluruhan, bayaran balik pinjaman bagi segmen perniagaan dan segmen isi rumah adalah menggalakkan apabila berakhirnya program bantuan bayaran balik pinjaman dan pembukaan semula ekonomi," jelas BNM. - DagangNews.com