BNM tubuhkan dana teknologi tinggi RM1 bilion bantu PKS | DagangNews Skip to main content

BNM tubuhkan dana teknologi tinggi RM1 bilion bantu PKS

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan dana Kemudahan Teknologi Tinggi - Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2021. 

 

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memberi bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19. 

 

Menurut bank pusat itu, kemudahan tersebut bertujuan membantu PKS berteknologi tinggi dan berorientasikan inovasi yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara. 

 

"Langkah ini penting bagi memperkukuhkan kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya dalam kenyataan.

 

Kemudahan tersebut disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya (mana yang lebih awal).

 

Jelas BNM, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja. 

 

"Untuk pembiayaan sehingga RM5 juta, ia untuk membiayai modal perbelanjaan atau kombinasi modal kerja dan modal perbelanjaan untuk tempoh sehingga 7 tahun," katanya. 

 

Kemudahan ini ditawarkan pada kadar faedah pembiayaan sehingga 3.5% setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga 5% setahun termasuk fi jaminan (dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

 

BNM berkata, PKS yang layak termasuklah dari sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan. 

 

Antaranya, perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

 

"Selain itu, peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi keutamaan dalam rangka tindakan kebangsaan. 

 

"Ia merangkumi daripada teknologi berkaitan revolusi perindustrian 4.0 serta teknologi hijau dan bioteknologi bagi memastikan kesinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan," jelasnya. 

 

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. - DagangNews.com