KETIDAKTENTUAN POLITIK NEGARA JEJASKAN PEMULIHAN EKONOMI
SEDAR atau tidak kita sudah pun melangkah ke pertengahan Ogos, bulan keramat bagi negara kita yang tidak lama lagi akan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-63.
Namun, kemerdekaan kali ini sudah pastinya akan dikenang sebagai ulang tahun menyambut merdeka yang paling pelik kerana ia akan disambut dengan norma baharu yang kini sudah mula menjadi kebiasaan bagi rakyat di negara kita.
Krisis pandemic COVID-19 ini juga turut menambahkan keperitan yang sedang dialami oleh negara ini yang juga turut berhadapan dengan masalah ketidaktentuan politik yang dapat kita saksikan hinggalah ke hari ini.
Sesungguhnya, apabila melihat kembali pelbagai peristiwa yang berlaku sejak awal tahun hingga ke hari ini sudah semestinya kita boleh beranggapan bahawa kekeliruan atau ketidaktentuan dalam isu politik khususnya telah memberikan kesan yang tidak baik kepada ekonomi negara.
Berdasarkan kepada data yang diperoleh dari kajian John Hopkins University, negara kita Malaysia dan negara jiran Thailand adalah antara negara-negara yang berjaya menurunkan kes COVID-19 di rantau Asia Tenggara.
Walaupun ia boleh dianggap sebagai kejayaan bagi Malaysia namun ketidakstabilan politik yang disebabkan oleh situasi ketidaktentuan yang dihadapi baik dari pihak kerajaan atau pun pembangkang sudah pastinya akan memberikan kesan yang tidak baik kepada negara.
Pendedahan mengenai `Rahsia 27 Februari' oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim mengenai pengakuan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah bersetuju supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menjadi Perdana Menteri apabila hanya terdapat 66 perakuan bersumpah (SD) yang menyokong Tun Dr. Mahathir supaya kekal menjadi Perdana Menteri, adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.
Namun begitu apabila Tun Dr. Mahathir mula mengubah pendiriannya, ia sama sekali sukar untuk diterima oleh Tan Sri Rais Yatim kerana ia bukanlah perkara kecil yang boleh dimain-mainkan tetapi ia melibatkan hal pemerintahan negara.
Sudah tentu perkara Rahsia 27 Februari yang telah diperihalkan oleh Tan Sri Dr Rais Yatim ini akan merujuk kembali kepada peristiwa Langkah Sheraton yang berlaku sebelum itu.
Tindakan kumpulan fraksi PKR yang diketuai oleh Azmin Ali bersama 10 orang ahli Parlimen yang lain bergabung dengan kumpulan ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu yang dianggotai oleh wakil dari Barisan Nasional, PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh dianggap sebagai tindakan yang telah meruntuhkan penguasaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan pusat yang baru menjangkau 22 bulan.
Langkah ini kemudiannya diikuti oleh perletakan jawatan Perdana Menteri sehari kemudian dan pengumuman Bersatu untuk keluar dari gabungan parti kerajaan yang menjadi pelengkap kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Plot penceritaan ketidaktentuan politik ini tidak berakhir di sini sahaja. Ia kemudiaannya diikuti pula dengan kegagalan Tun Dr. Mahathir bersama kumpulan ahli Parlimennya yang telah dipecat dari Bersatu untuk menyaman Muhyiddin dan beberapa lagi memohon perisytiharaan, antaranya mereka adalah ahli BERSATU yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Akibat dari kegagalan Tun Dr. Mahathir bersama kumpulan ahli Parlimennya dalam usaha untuk mengheret PPBM ke mahkamah akhirnya telah mendorong beliau untuk menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air.
Kewujudan Pejuang sebagai sebuah parti politik bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak baik kerajaan atau pun pembangkang juga turut mengundang 1,001 persoalan kerana sewaktu majlis memperkenalkan calon bebas dalam kempen pilihan raya kecil DUN Slim yang sedang berlangsung, kelihatan juga kehadiran beberapa pemimpin utama pembangkang dari parti Amanah dan DAP berada dalam majlis tersebut.
Malahan, Rais juga turut mempersoalkan bagaimana keupayaan Tun Dr. Mahathir untuk mengetuai parti tersebut serta kredibiliti Mukhriz Mahathir yang mempunyai rekod yang tidak baik di Kedah sebelum ini.
Malahan, tujuan utama penubuhan Parti Pejuang oleh Tun Dr. Mahathir juga turut dipersoalkan oleh Rais apakah dasar anti politik wang sebagai tujuan utama penubuhannya dan akan kekal hingga PRU ke-15.
Sambil mengibaratkan politik dan wang seperti air dalam lumpur, Rais juga mengakui bahawa inilah kegagalan Mahathir yang telahpun berlaku sepanjang tempoh beliau berada di puncak kuasa selaku Perdana Menteri keempat dan ketujuh.
Ketidaktentuan ini juga turut berlaku di pihak parti-parti kerajaan mutakhir ini. Polemik isu berkaitan jemputan gabungan Muafakat Nasional iaitu PAS dan UMNO terhadap Bersatu untuk turut bersama dalam gabungan tersebut adalah bukti kepada bagaimana ketidaktentuan politik ini juga turut terjangkit di dalam blok parti kerajaan.
Bagi PAS mereka mungkin tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerima kemasukan Bersatu dalam Muafakat Nasional tetapi bagi UMNO, ia agak sukar untuk diterima dan dihadam sepenuhnya.
Jika dilihat kepada situasi terkini, ternyata UMNO menerima maklum balas kurang baik terhadap kemasukan PPBM ke dalam Muafakat Nasional seperti dinyatakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohammad Hasan.
Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya turut memberikan respon bahawa sebarang maklum balas daripada akar umbi UMNO dan juga netizen terhadap polemik kemasukan PPBM ke dalam Muafakat Nasional akan diambil kira oleh Majlis Tertinggi UMNO sebelum membuat sebarang keputusan.
Secara keseluruhannya, sebarang kekeliruan dan ketidaktentuan politik ini haruslah ditamatkan seberapa segera yang boleh kerana sekiranya ia kekal berpanjangan, negara kita tidak akan dapat melaksanakan proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 ini.
Kini sudah timbul pelbagai spekulasi terhadap pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan kita berharap apabila masanya telah tiba, mandat rakyat yang akan diberikan nanti boleh menamatkan sebarang kekeliruan dan ketidaktentuan politik negara kita.
Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.