Buaya 9 kaki dengan 48 biji telur dijumpai di ladang Kuala Baram, Miri | DagangNews Skip to main content

Buaya 9 kaki dengan 48 biji telur dijumpai di ladang Kuala Baram, Miri

KUCHING 30 Sept. - Pasukan Tindakan Cepat Hidupan Liar Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 2.74 meter (9 kaki) pada Ahad lalu, selepas menemukan 48 biji telur buaya sehari sebelum itu di sebuah ladang di Kuala Baram, Miri.

Menurut SFC, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pekerja ladang yang mendakwa ternampak seekor buaya di ladang berkenaan.
 

aaa
Telur buaya yang membawa kepada penangkapan buaya sepanjang 9 kaki di Kuala Baram, Miri oleh pasukan tindakan cepat hidupan liar Sarawak Forestry Corp. pada Sabtu lalu. - Gambar SFC


``Semasa operasi Sabtu lalu, pasukan tindakan cepat kami tidak mengesan buaya itu tetapi terjumpa 48 biji telur buaya. Keesokan harinya buaya itu dikesan dan berjaya ditangkap menggunakan kaedah umpan tali.

"Telur-telur itu kemudiannya diserahkan kepada ladang penternakan buaya di Kuala Baram," kata SFC dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan kata SFC, seorang lelaki menyerahkan seekor ular sawa yang ditangkap di rumahnya dan seorang lelaki dari Long Selaan pula menyerahkan ungka Borneo kepada Pejabat wilayah Miri SFC.
 

ungka
Ungka atau Borneon Gibbons


Buaya, ular sawa adalah haiwan dilindungi manakala ungka atau Wak-wak sememangnya tersenarai di dalam Ordinans Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, yang merupakan Pengawal Hidupan Liar, Zolkipli Mohamad Aton menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atau kesedaran mengenai kepentingan melindingu hidupan liar, lebih-lebih lagi spesies yang dilindungi.

"Adalah lebih baik untuk membiarkan haiwan liar bebas di dalam hutan sebagai sebahagian daripada ekosistem.

"Andai haiwan itu sudah pupus, generasi akan datang pasti menyalahkan kita kerana tidak melindungi dan memulihara warisan semula jadi berharga ini. Oleh itu, kita hendaklah memainkan peranan kita memelihara kewujudan hidupan liar kita," katanya.

Orang ramai yang tahu mengenai aktiviti perdagangan haram hidupan liar boleh menghubungi talian SFC seperti berikut:  – Kuching (019-8859996, 013-8110150), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8223449, 019- 8332737), or Miri (019-8224566, 019-8290994). — DagangNews.com