Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 7 May 2022

BUDAYA MELIHAT ANAK BULAN

Mencerminkan Asal Usul Ilmu  Falak

 

 

 

Adakala terguris perasaan
Terhiris kata dari perbuatan
Ternoda tatasusila pertuturan

 

Pada zaman 1980an dan 1990an dahulu, perasaan berdebar menunggu Raya itu memang sesuatu yang menyeronokkan. Kita tidak pasti sama ada ‘Raya esok!’ atau ‘Belum Raya…’ menjadi ungkapan di saat Pemegang Mohor Diraja membuat pengumuman tarikh Raya setelah 29 hari berpuasa. 

 

Seringkali, kita yang kurang arif cepat memperlekehkan kearifan azali sehingga kita terdengar cetusan, “Di zaman ini serba-serbi moden. Masih nak lihat anak bulan…”

 

Sejujurnya saya kurang senang dengan kata-kata kesat mahupun ejekan tentang tarikh perayaan Syawal. Cemuhan sebegini melindungi cubaan memperkecilkan segala yang terancang, walaupun berdasarkan syariah. 

 

Islam ini agama yang mementingkan pemerhatian dan penelitian alam semesta dalam ibadah dan kehidupan seharian. 

 

Dari Budaya ke Ilmu Falak

Ilmu Falak adalah ilmu segala yang di langit -  matahari, bulan, bintang-bintang, dan cakerawala - segala yang berkaitan dengan alam semesta yang luas. Pada hari ini, mungkin kita merasakan bidang  astronomi ini dikuasai dunia Barat namun seribu tahun yang lampau, dunia Islam menerajui pemikiran ilmu falak. 

 

Setiap cetusan inovasi bermula dengan satu titik permulaan. 

 

Dan boleh dikatakan pemikir dunia Islam memulakan titik tolak dunia  sains ini  berdasarkan wahyu yang diturunkan yang membentuk budaya Islam dan pemikiran. 

 

 

hikayat

 

 

Antaranya:

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Al Taubah Ayat 36

 

Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari kedua-duanya itu beredar di dalam garis edarnya. Al Anbiyaa’ Ayat 33

 

Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Al An’aam Ayat 96

 

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, Asy Syams Ayat 1

…dan bulan apabila mengiringinya, Asy Syams Ayat 2

…dan siang apabila menampakkannya, Asy Syams Ayat 3

 

Video ini menunjukkan dengan jelas kepentingan kaedah melihat  anak bulan dan pengiraan dalam Islam.

 

Agama Islam adalah agama yang menggunakan kalendar terperinci mengikut peraturan alam dan tidak menganjak tahun seperti kalendar Greagarion atau Kalendar China dan India untuk memudahkan manusia.

 

Sebab itulah Hari Raya dirayakan setiap tahun 11 hari lebih awal dan bergerak ke setiap bulan setiap pusingan 33 tahun.

 

 

falak

 

 

Ahli Falak tersohor dari zaman kegemilangan Islam

Muhammad Ibnu Ibrahim al-Farizi (Al-Farizi) dikenali sebagai ahli falak pertama di dunia Islam pada abad kelapan. Ia diikuti ramai ahli falak yang begitu hebat menjalankan kajian demi pemahaman alam semesta. 

 

Antara tokoh falak dan matematik tersohor dunia Islam diikuti Abu Ja’far bin Musa al-Khawarizmi (780-847 M) di mana beliau berjaya mengolah sistem Ilmu Hisab.

 

Di samping itu,  Al-Khawarizmi mencipta pecahan titik perpuluhan dan menyusun perkembangan ilmu Hisab, penyusunan pertama tabel Trigonometri Daftar Logaritma serta banyak lagi.

 

Sesungguhnya Ilmu Hisab dan Falak berkait rapat antara satu sama lain. Dan Al-Khawarizmi membawa kedua-duanya ke tahap lebih tinggi.  

         

Abu Ma’sar al-Falaky (788-885 M) pula merupakan seorang ahli falak dari Balkh (Khurasan) terkenal di Eropah dengan nama Albu Masar. Beliau membuktikan pasang surut air laut sebenarnya akibat hubung kait keberadaan bulan dan bumi. 

 

Ibn Jabir al-Battani (858-929 M) yang di dikenali dengan nama Albatenius oleh dunia Barat menghitung perjalanan bintang, garis edar dan gerhana, menetapkan garis peredaran matahari, dan antara karya-karya al-Battani adalah Tamhid al-Musthafa li Nanah al-Mamar. 

 

 

falak

 

 

Penamaan salah satu kawah di permukaan bulan diberi nama  Ibnu Yunus oleh seorang profesor dalam bidang astronomi dan falsafah, Joannes Baptista Riccioli dari Bologna, Itali pada tahun 1651 dan kemudian disahkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

 

Ibnu Yunus dilahirkan antara 950 dan 952 Masihi di Fustat, Mesir. Kemasyhurannya mula menonjol pada era Khalifah al-Aziz (995M) di mana Ibnu Yunus diberikan tanggungjawab untuk menulis sebuah rajah penggerak cakerawala yang turut menjadi kegunaan Khalifah al-Aziz. 

 

Abu Raihan al-Biruni (388-440 H / 973 - 1048 M) pula begitu harum namanya dalam sejarah ilmu Falak, sehingga beliau diberi gelar al-Ustadz fi al-‘Ulum, kerana menguasai  ilmu cendekiawan, filsafat, matematik dan geografi. 

 

Al-Biruni adalah antara yang terawal menolak teori bumi ini adalah pusat alam semesta dengan bintang-bintangnya mengelilingi bumi. Beliau menentukan garis bujur dan garis lintang di permukaan bumi. Karyanya antara lain “Al-Atsar Baqiyyat min Al-Qurun al-Khaliyat”  yang yang ditulis pada tahun 1030 M.

 

Abu Abbas Ahmad bin Muhammad bin Katsir al-Farghani seorang ahli falak yang berasal dari Uzbekistan. Dalam kalangan para saintis Barat ia dikenali sebagai Alfarganus.

 

Karyanya seperti Jamawi al-ilm al-Nujum wa Harakat al-Samawiyyat, Ushul ‘Ilm al-Nujum, Al-Madkhal ila ‘ilm Haiat al-Falak, dan Fushul al-Tsalatsin, masih tersimpan di Oxford, Paris, Kaherah dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin yang menjadi asas ilmu astronomi Barat. 

 

Muhammad Turghay Ulughbeik (797-853 H./ 1394-1449 M) lahir di Salatin, Iskandaria, dan pada tahun 1420 M berhasil membangunkan makmal ‘planetorium’ di Samarkand.

 

 

Muhammad Turghay Ulughbeik

 

 

Karyanya Jadwal Ulughbeik (zij sulthani), merupakan rujukan astronomi berkenaan matahari dan bulan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh J. Greaves dan Thyde, dan ke bahasa Perancis oleh Saddilet.

 

Perkaitan ilmu falak ini dengan dunia Melayu

Ilmu falak sebenarnya telah dikuasai orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu di Terengganu, Melaka dan Kedah. Paling utama dalam hal ibadah, namun begitu penting bagi pelayaran dan kembara daratan.  

 

Ilmu falak adalah antara kearifan orang Melayu, yang adakalanya digelar Ahli Nujum.

 

Di dalam Hikayat Melayu, kita lihat Ahli Nujum antara penasihat Raja terpenting selain Bendahara dan meramal musim dan cuaca tempatan untuk kegiatan padi dan bercucuk tanam, membuka tanah dan jadual air pasang surut dan sesuai untuk belayar sama seperti yang digunakan tokoh ulama Islam seperti Imam Abu Raihan al-Biruni.

 

 

Imam Abu Raihan al-Biruni

 

 

Boleh dikatakan ilmu falak yang disimpan dalam manuskrip Melayu ini juga bukti kukuh ketamadunan Dunia Melayu. 

 

Oleh itu,  janganlah sewenang-wenang memperkecilkan segala ilmu Melayu dan Islam. Berhentilah dari memperlekehkan segala perkiraan ahli Falak untuk kebaikan bersama. 

 

Hormatilah ilmu, warisan bangsa.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags