Buka akaun Bank Islam hanya 6 minit | DagangNews Skip to main content

Buka akaun Bank Islam hanya 6 minit

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bank Islam Malaysia Berhad muncul sebagai bank pertama di Malaysia menggunakan saluran pendaftaran mudah alih (MOB) untuk pelanggan runcit. 

 

Perkhidmatan baharu perbankan melalui MOB ini akan mempercepatkan proses pembukaan akaun sedia ada dan membolehkan pengeluaran nombor akaun dan kad debit dibuat serta-merta. 

 

Malah, perkhidmatan ini tidak lagi memerlukan para pelanggan untuk hadir ke cawangan terdekat bagi proses pengesahan berbanding kaedah terdahulu.

 

Mohd. Muazzam Mohamed
Mohd. Muazzam Mohamed

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, perkhidmatan perbankan ini adalah mudah dan menyenangkan pelanggan apabila transaksi dilakukan dengan kehadiran kakitangan mengikut ruang dan waktu kelapangan pelanggan.

 

Katanya, pengenalan MOB ini tepat pada masanya kerana COVID-19 tidak hanya menyukarkan pergerakan orang
ramai tetapi juga meningkatkan keperluan untuk beralih ke perkhidmatan perbankan inovatif yang cekap dan selamat.

 

"Sebagai sebuah bank yang menekankan inovasi dan keselesaan, kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan produk dan perkhidmatan Bank Islam seiring dengan trend dan keperluan semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MOB menggunakan peranti tablet dengan perisian khusus yang membolehkan pembukaan beberapa jenis produk Akaun Semasa dan Akaun Simpanan serta Akaun Pelaburan seperti Al-Awfar dan iGain. 

 

Ia bertujuan memberikan kemudahan dan fleksibiliti kepada pelanggan di samping memberikan pengalaman
perbankan yang selamat dan cekap, dengan mengambil kira situasi pandemik dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini.

 

Sebelum ini, Bank Islam telah memperkenalkan platform Pembukaan Akaun Maya (VAO), yang mana pelanggan boleh mengisi maklumat mereka secara atas talian tetapi memerlukan proses pengesahan diselesaikan di cawangan.

 

Proses pembukaan akaun menggunakan MOB hanya akan mengambil masa 6 minit termasuk penyediaan kad debit dan tiada sebarang caj dikenakan. 

 

Perkhidmatan hanya dengan janji temu ini tersedia di seluruh negara mulai pukul 9.00 pagi hingga 10.00
malam setiap hari, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

 

Untuk membuat janji temu bagi perkhidmatan ini, pelanggan boleh mengisi borang secara atas talian di pautan https://vao.bankislam.com.my/sales/, dan kakitangan Bank Islam akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan permohonan tersebut.

 

Pelanggan hanya perlu menyediakan MyKad dan dokumen sokongan lain yang berkaitan semasa janji temu. - DagangNews.com