Bursa Malaysia, SZSE jalin kolaborasi rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia, SZSE jalin kolaborasi rentas sempadan

Bursa Malaysia, SZSE

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dan Bursa Saham Shenzhen (SZSE) memaparkan komponen indeks penanda aras terpilih dari pasaran masing-masing dalam kedua-dua laman web bursa bermula semalam.

 

Bentuk promosi indeks berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif kolaborasi rentas sempadan antara kedua-dua negara.

 

Dalam laman web Bursa Malaysia terdapat indeks utama SZSE iaitu Indeks Komponen Shenzhen, Indeks 100 Shenzen dan Indeks ChiNext.

 

Kesemua indeks utama itu akan memberi peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada beberapa syarikat terkemuka dan inovatif dari kedua-dua industri tradisional dan industri baharu di Pasaran China.

 

Bagi Indeks Malaysia yang akan dipaparkan di laman web SZSE pula adalah CNI-Bursa Malaysia 50 Index, Bursa Malaysia Health Care Index dan Bursa Malaysia Technology Index.

 

Sektor kesihatan dan teknologi telah menjadi salah satu sektor yang mempunyai prestasi terbaik di Malaysia untuk tahun 2020.

 

Hingga November 2020, Indeks Penjagaan Kesihatan telah meningkat sebanyak 221%, sementara Indeks Teknologi pula mencatatkan peningkatan sebanyak 72%.

 

Indeks CNI-Bursa Malaysia 50 adalah indeks baharu yang dibangunkan bersama oleh Bursa Malaysia dan SZSE.

 

Indeks berkenaan juga adalah jenama bersama rentas sempadan yang pertama yang akan dipaparkan di SZSE.

 

Indeks tersebut akan mengesan prestasi 50 syarikat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan permodalan pasaran apungan bebas (free-float) di bawah metodologi Shenzen Securities Information Co. Ltd.

 

Ketiga-tiga indeks yang dipaparkan di SZSE bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan syarikat tersenarai Malaysia kepada pelabur China.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift yang mengulas inisiatif itu berkata, hubungan strategik Bursa Malaysia dan SZSE adalah langkah maju yang signifikan untuk menawarkan platform dan titik permulaan mudah kepada pelabur yang ingin belajar dengan lebih mendalam mengenai pasaran Malaysia.

 

"Ini juga memberi landasan yang kuat untuk pengembangan bagi instrumen baharu untuk produk indeks yang boleh diperdagangkan.

 

"Kami menantikan hubungan strategik yang berterusan dengan SZSE bagi meningkatkan profil pasaran kami kepada kedua-dua pelabur antarabangsa dan domestik," jelas beliau. - DagangNews.com